Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Penampilan semula paling mencabar buat Chong Wei

Image result for HendrawanKUALA LUMPUR 9 Nov. – Datuk Lee Chong Wei bakal menempuh masa paling mencabar dalam kariernya apabila dia kembali ke gelanggang selepas pulih daripada penyakit kanser hidung, kata jurulatihnya Hendrawan.



Menurut jurulatih dari Indonesia itu cabaran dihadapi Chong Wei pada masa depan adalah lebih mencabar berban­ding sewaktu dia kembali beraksi selepas berdepan isu kecederaan dan doping sebelum ini, namun dia mengalu-alukan keputusan pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu untuk kembali ke gelanggang kompetitif.

Menurut Hendrawan, situasi kali ini jauh berbeza dengan keadaan ketika Chong Wei, 36, kembali selepas pulih daripada kecederaan dan penggantungan doping namun tetap berkeyakinan pemain ber­kenaan mempunyai semangat yang kuat bagi mengharungi segalanya.

“Kali ini melibatkan soal kesihatan yang menyebabkan dia tidak dapat berlatih lama berbanding sebelum ini, ketika digantung kerana doping dia tetap dapat berlatih.

“Saya percaya semangat dia amat kuat untuk mengharungi semua cabaran termasuk cabaran usia ketika ini tambahan pula dia adalah pemain yang sukar dijangka, hari ini dia jatuh tetapi esok dia boleh melompat semula.

“Sebagai jurulatih saya perlu melihat keadaannya terlebih dahulu ketika memulakan latihan nanti dan saya percaya kemahiran dan strategi permainannya masih tetap ada bersamanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam Chong Wei meng­umumkan dia telah bebas daripada kanser hidung selepas mendapatkan rawatan hampir tiga bulan di Taiwan dan menyatakan hasrat ingin kembali semula beraksi untuk negara dengan misi memburu pingat emas Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Dalam pada itu, Hendrawan turut mengakui dia tidak menjangka Chong Wei akan membuat keputusan untuk kembali beraksi terutama selepas berdepan masalah kesihatan yang membimbangkan sebelum ini.

“Ketika berjumpa kami tidak bincang langsung tentang badminton sebaliknya hanya ber­kenaan kesihatannya sahaja,” katanya.