Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Nasib remaja Kemboja penjual cenderamata fasih 16 bahasa kini berubah

REMAJA berusia 14 tahun ini tiba-tiba sahaja menjadi selebriti kerana kebolehannya menggunakan 16 bahasa.

Thuch Salik bukan datang dari kalangan mereka yang berkedudukan, sebaliknya hanya seorang remaja biasa yang menjual cenderamata di hadapan kompleks kuil Angkor di Krong Siem Reap, Kemboja.

Salik mempelajari kesemua bahasa itu melalui interaksinya dengan pelancong.




Susulan itu, hidup Salik sekeluarga kini sudah mula berubah. Baru-baru ini, mereka dijemput menjadi tetamu dalam program televisyen tempatan.

Terdapat juga orang-orang perseorangan yang mendermakan basikal dan permainan baru, malah turut berjanji untuk membiayai pendidikan Salik sehingga ke peringkat universiti.

Dengan situasi kewangan keluarganya yang semakin baik dan stabil, Salik komited untuk belajar dan meningkatkan kemahiran bahasanya.





“Saya tidak membenarkan Salik berjualan lagi. Jika dia ada kelapangan, dia boleh membantu saya.

“Tetapi keutamaan untuk dia kini adalah pelajaran kerana saya mahu dia mendapat pendidikan,” kata ibunya, Mann Vanna, seperti yang dipetik dari portal Channel NewsAsia.

Vanna mengakui tidak menyedari anaknya itu seorang yang bijak sehingga mampu mempelajari begitu banyak bahasa dalam tempoh masa yang singkat.

Kisah Salik sebelum ini mendapat perhatian selepas video dia berkomunikasi menggunakan 16 bahasa, antaranya Rusia, Tagalog, Jepun dan Itali, tular menerusi perkongsian di laman sosial.