Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Menang ‘Ninja Challenge League’, Mat Redho mengemis cari penaja

Image may contain: 1 person, standingPETALING JAYA: Kejayaan Mohd Redha Rozlan merangkul gelaran juara Ninja Challenge League (NCL) 2018 di Perth, Australia nyata mengharumkan nama negara, namun siapa sangka ‘Ninja Malaysia’ itu sebenarnya berdepan masalah tajaan.

Mohd Redha Rozlan atau lebih dikenali sebagai Mat Redho, 30, mengakui dia terpaksa ‘pecah tabung’ setiap kali menyertai pertandingan di luar negara.




“Setiap kali bertanding di luar negara, memang saya akan pergi sendiri atau tambang sendiri dan dalam masa yang sama saya hantar banyak permohonan untuk ditaja.

“Cuma beberapa pihak sahaja yang membantu dan bagi pertandingan di Perth (NCL2018) ni, sehingga kini memang tak ada tajaan dari mana-mana pihak,” katanya yang masih berada di Perth ketika dihubungi mStar Online.

Bagaimanapun, Mat Redho menjelaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini pernah menaja penyertaannya ke pertandingan seperti itu.

Image may contain: 5 people, people smiling, people standing

Mat Redho terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri untuk menyertai NCL2018 di Perth, Australia. – Instagram @matredho

“Tahun lepas saya ditaja oleh beberapa penaja termasuklah KBS, cuma tahun ini mungkin KBS sibuk dengan Sukan Asia dan baru habis Hari Sukan Negara.

“Jadi mungkin sedikit lewat bagi pihak KBS… dan saya berharap KBS tetap menaja saya sebagai atlet mereka,” kata Mat Redho.

Jelas beliau, semua permohonan untuk mendapatkan tajaan adalah membabitkan kos individu dan tidak sama sekali melibatkan kos keluarganya yang hadir memberikan sokongan.





Mat Redho yang turut menggunakan tanda pagar (hashtag) #menagih #pengemis pada beberapa posting di laman Instagramnya memberi petunjuk bahawa beliau amat memerlukan tajaan untuk menyertai pertandingan tersebut.

Anak-anak dan isteri sentiasa menjadi peneman Mat Redho ketika menyertai pertandingan di dalam dan luar negara. – Instagram @matredho

Pada pertandingan tersebut, bapa kepada sepasang cahaya mata itu berjaya mengenepikan lebih 30 ‘ninja’ terbaik di Perth dan 11 ninja antarabangsa.

Mat Redho merekodkan catatan masa terbaik 5:13.09 di tempat pertama dan meninggalkan American Ninja Warrior, Jake Murray di tempat kedua ( 5:23.62) bagi cabaran Flying Bar Start, manakala Cameron D’Silva dari Australia di tempat ketiga pula mencatatkan masa 3:10.35 untuk cabaran 5th Cliff Hanger.

Menurutnya, cabaran paling getir yang dilaluinya adalah mengamalkan diet selama lebih sebulan untuk menyertai pertandingan itu.

Kata Mat Redho, di sebalik kejayaan bergelar juara, ia sebenarnya merupakan penyertaan kali pertama beliau dalam NCL.

Untuk rekod, NCL2018 di Perth adalah NCL keempat yang dianjurkan sejak ia diperkenalkan pada 2015.

NCL adalah pertandingan yang dicipta oleh veteran Ninja Warrior Australia, Mark dan David Ravi dan ia merupakan liga sukan ninja pertama negara Kanggaru tersebut.