Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Jangan terlalu ‘agungkan’ Thailand

KUALA LUMPUR 28 Nov. – Setiap kali Harimau Malaya bertemu Thailand, tidak kira dalam pentas kejohanan apa sekali pun, pastinya ada pandangan bahawa skuad Gajah Perang itu lebih bagus berbanding Malaysia.

Thailand menghuni tangga ke-121 dunia, menjadi pasukan pilihan dalam pertemuan menentang Malaysia dalam aksi separuh akhir Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini berbanding pasukan negara yang menduduki tempat ke-169.




Selain itu, berdasarkan 10 rekod terakhir pertemuan kedua-dua pasukan dalam Piala AFF menyaksikan Thailand melakar kemenangan sebanyak lima kali, seri dua dan selebihnya tewas.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak mahu pemainnya mempunyai mentaliti atau kepercayaan yang mengatakan Thailand lebih bagus kerana mereka juga mempunyai kualiti tersendiri.

“Persediaan berjalan dengan lancar dan pemain bersemangat. Mereka juga fokus untuk aksi pada Sabtu ini kerana penting untuk kita layak ke final tetapi kita kena hormat kepada Thailand yang memiliki pemain berkualiti.

“Bagaimanapun, pemain perlu menukar persepsi kerana setiap kali bertemu Thailand, kita pasti akan rasa kita kena bertahan dan fikir mereka lebih bagus berbanding pasukan sendiri.





“Kali ini, saya mahu pemain ada persepsi di mana mereka turun dengan keyakinan bahawa kemungkinan besar Thailand akan bertahan dan kita pula yang menyerang. Di samping kita menyerang, kita kena berjaga-jaga sebab mereka ada dua atau tiga pemain yang boleh mengambil kesempatan daripada serangan balas,” katanya kepada pemberita di padang latihan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan hari ini.

Ada kemungkinan Malaysia mampu mengatasi Thailand di Bukit Jalil kerana Gajah Perang tidak mempunyai rekod yang baik ketika beraksi di tempat lawan dalam peringkat kumpulan yang menyaksikan mereka terikat 1-1 menentang Filipina pada Rabu lalu.

Namun, ketika beraksi di laman sendiri, sebanyak 14 jaringan berjaya dihasilkan dan itu bermakna Malaysia perlu mencari bekalan gol sebelum bertandang ke Stadium Rajamangala pada 5 Disember ini bagi aksi timbal balik.

“Yang penting kita fokus permainan kerana bermain di laman sendiri. Pemain bersemangat tinggi walaupun Thailand ada pemain lebih baik tetapi saya fikir sesiapa yang diturunkan mahu memberi aksi terbaik,” katanya.



, ,