Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Jangan buat silap hadapi Vietnam – Zaquan

MOHD. ZAQUAN ADHA ABD. RAZAK cuba melepasi pemain Laos dalam aksi KUALA LUMPUR 14 Nov. – Sebarang kesilapan yang dilakukan Malaysia dalam pertembungan menentang Vietnam bagi aksi Kumpulan A Piala AFF mampu meranapkan peluang Harimau Malaya untuk mengutip mata berharga daripada perlawanan tersebut.




Menyedari perkara itu, kapten Harimau Malaya, Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak memberi peri­ngatan kepada rakan sepasukan untuk memperbaiki kelemahan yang dilakukan mereka selepas beraksi dua perlawanan menentang Kemboja (8 November) dan Laos pada Isnin lalu.

“Kami perlu mempelajari da­ripada kesilapan dan kekurangan selepas beraksi dua perlawanan untuk berjumpa Vietnam. Dua tahun lalu kami tewas 0-1 kepada mereka dan memang kami mengharapkan pertembungan kali ini akan membawa rezeki kepada pasukan.

“Bagaimanapun, bukan mudah kerana kami bermain di tempat lawan. Kami perlu menggandakan usaha selain fokus dan semangat untuk atasi mereka. Saya tidak boleh komen tentang kelemahan pa­sukan kerana biar jurulatih (Tan Cheng Hoe) yang memperbetulkannya.

“Setiap posisi ada kelemahan dan yang pasti kami akan memperbetulkannya. Saya harap kami tidak membuat kesilapan ketika menentang Vietnam ke­rana sedikit kesilapan kita akan habis,” katanya kepada pembe­rita di sini baru-baru ini.





Di atas kertas, Vietnam di label sebagai pasukan pilihan selepas skuad kendalian Park Heong Seo itu menghuni tangga ke-102 dunia berbanding Malaysia yang berada di kedudukan ke-169.

Meskipun Malaysia meng­ungguli tangga teratas Kumpulan A hasil dua kemenangan ke atas Kemboja (1-0) dan Laos (3-1) namun Zaquan menegaskan pencapaian tersebut tidak boleh dibanggakan.

“Bagi saya, masih terlalu awal untuk berbangga dengan keputusan hasil daripada perlawanan sebelum ini kerana dua aksi pertama kami mesti mengutip mata dan untuk melakukannya bukan mudah. Laos dan Kemboja semakin maju tetapi kami tetap berusaha dan secara peribadi kami masih ada kekurangan,” katanya.

Seandainya Malaysia dapat mengutip tiga mata menentang Vietnam bermakna mereka berjaya menempah tiket ke peringkat separuh akhir lebih awal namun jika sebaliknya nasib Harimau Malaya akan ditentukan menerusi perlawanan menentang Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November ini.



, ,