Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Isu Tiket Piala AFF: Macam nak ‘cekik darah’

PEMAIN Harimau Malaya ketika menjalani latihan di Stadium Nasional, KUALA LUMPUR 22 Nov. – Perlawanan terakhir Malaysia dalam Kumpulan A, Piala AFF, Sabtu ini bukan sahaja mendebarkan pemain dan penyokong Harimau Malaya, malah mencetus ‘perang’ antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Dua hari selepas PSM menyuara­kan kekecewaan ke­rana tidak mendapat kerjasama daripada FAM untuk urusan jualan tiket, badan bola sepak negara itu kemudian mempertahankan tindakan mereka dengan mendakwa seperti ‘ditekan’ ketika menggunakan Stadium Nasional, Bukit Jalil.




“Penggunaan sistem tiket berteknologi tinggi ini telah digunapakai dan disyorkan oleh PSM kepada semua penganjur acara semenjak KL Sports City mula beroperasi semula semasa Sukan SEA 2017. Usaha ini telah mendapat sambutan baik pelbagai penganjur dan pengunjung acara.

“Namun, PSM kesal atas kesulitan yang dihadapi peminat bola sepak Malaysia atas keengganan FAM untuk bekerjasama dengan PSM dalam urusan sistem tiket bagi perlawanan AFF,” tulis PSM dalam satu kenyataan, Selasa lalu.

Setiausaha agung FAM, ­Stuart Ramalingam mengakui terkilan dengan kenyataan tersebut yang seolah-olah memburukkan badan induk bola sepak negara itu.

“Pertama kali kita kecewa de­ngan komen yang dimuat naik di PSM di media sosial.

“Jika mereka mahu ‘cuci tangan’ tidak mahu terkena tempias dengan komen-komen pedas penyokong berhubung isu tiket, mereka boleh buat kenyataan ringkas.

“Ini nampak se­perti mahu memburukkan FAM dan dalam masa sama mahu menjalankan perniagaan.

“Diakui, sistem jualan tiket yang digunakan PSM menerusi khidmat syarikat Seat Advisor lagi bagus tapi ia tidak boleh dibandingkan dengan sistem jualan yang kami guna sekarang iaitu Ticket Hotline.

“Caj yang dikenakan kepada penyokong adalah lebih tinggi hampir RM3 apabila menggunakan cara jualan tiket PSM dan ini tidak adil kerana caj itu bukan saja dikenakan menerusi pembelian tiket dalam talian malah di kaunter, sedangkan kami tidak mengenakan caj bagi pembelian tiket di kaunter.

“Jika satu tiket terjual dicaj RM3 oleh PSM dan jika 60,000 tiket terjual kita perlu membayar tambahan RM180,000 ha­nya untuk satu perlawanan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Setakat hari ini, 40,396 tiket perlawanan antara Malaysia menentang Myanmar sudah terjual. FAM menyasarkan 70,000 bakal membanjiri Stadium Nasional, Sabtu ini.

Tiket Grand Stand berharga RM30 sudah habis manakala penjualan tiket bagi tempat duduk terbuka (RM20) dan kanak-kanak (RM5) akan dite­ruskan di Kaunter Tiket Pintu A & E di Stadium Nasional esok bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang dan pada hari perlawanan sehingga habis.



,