Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Durakovic kekal jurulatih Perak musim depan

 KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengesahkan beliau akan terus membimbing skuad ‘Bos Gaurus’ untuk Liga Malaysia 2019.

Jurulatih berasal dari Australia berumur 53 tahun itu menyatakan bahawa Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menyatakan hasrat untuk mengambil bekas jurulatih itu bagi membimbing pasukan liga super Selangor untuk musim akan datang.




“Saya ingin berterima kasih kepada Raja Muda Selangor dan saya berbual mesra bersama beliau selepas perlawanan akhir Piala Malaysia dan memang ya saya bersetuju untuk sertai Selangor, tetapi selepas menjelaskan semua situasi dengan keluarga saya, beliau memberi restu untuk saya terus bersama Perak dan saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada beliau,” jelas Durakovic kepada pemberita selepas majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 Isnin malam.

Pada majlis itu, Durakovic dinamakan sebagai Jurulatih Terbaik.

“Saya telah bersama pasukan bola Selangor selama 25 tahun dan mereka seperti keluarga saya dan Insya-Allah, saya akan kembali kepada Selangor,”.


Nama Durakovic tidak asing kepada Selangor, apabila membawa tiga kali kemenangan Piala Malaysia sebagai pemain iaitu pada 1995,1996 dan 1997 dan sebagai jurulatih pada 2015.

Durakovic menyatakan bahawa Perak telah bersiapsiaga untuk menghadapi tugas berat pada pusingan kelayakan Liga Kejuaraan Asia 2019, tetapi yakin para pemain dapat memberikan yang terbaik pada kejohanan itu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk memberi slot kelayakan ACL 2019 kepada Perak selepas Pahang gagal mengemukakan rayuan selepas dikenakan larangan selama dua tahun kerana membantah arahan FAM untuk mengambil bahagian dalam Piala AFC sebelum itu.

“Ia bukan tugas yang mudah bila memerlukan sebuah skuad yang besar dan berpengalaman luas, tetapi harap-harap kita boleh mendapat kewangan yang baik untuk mendapatkan pemain yang terbaik,” kata Durakovic.- Bernama



, , ,