Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Bayi 9 bulan mati didera suami pengasuh

KAJANG: Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan meninggal dunia Jumaat lalu selepas dua hari dilaporkan tenat dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuh.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Serdang yang menerima bayi berkenaan sebagai pesakit yang tenat pada jam 3.05 petang, Rabu lalu.




“Ketika dihantar ke hospital terbabit oleh kedua-ibu bapanya, mangsa dalam keadaan kritikal dan diberikan bantuan pernafasan. Pemeriksaan pihak hospital mendapati terdapat kesan koyakan baru pada himen dan dubur mangsa.

“Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kesan objek tumpul di kepala dengan tempurung kepala bayi terbabit pecah, selain kesan lebam pada bahagian atas kepala mangsa.

“Selain itu, terdapat juga kesan penderaan seksual terhadap bayi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Ahmad Dzaffir berkata, ibu bapa mangsa menetap di Bandar Baru Bangi, di sini, menghantar bayi itu ke rumah pengasuh yang juga tinggal di kawasan perumahan sama sejak September lalu.

“Ketika dihantar ke rumah pengasuh pada waktu pagi, mangsa dalam keadaan baik.

“Bagaimanapun, pada sebelah petang, ibunya mendapati mangsa sesak nafas dan dibawa ke Klinik Bandar Baru Bangi, sebelum dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya.





Beliau berkata, pihaknya menahan pengasuh dan suaminya masing-masing berusia 28 dan 36 tahun, kelmarin, untuk siasatan lanjut.

“Suami pengasuh yang bekerja sebagai penggunting rambut dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang semalam (kelmarin) dan tempoh reman terhadap suspek dibenarkan selama lima hari sehingga 13 November ini.

“Ujian saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif methaphetamine,” katanya.

Katanya, kes itu pada awalnya diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Namun, selepas mangsa meninggal dunia, kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi di talian 0196655811 bagi membantu siasatan,” katanya.