Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Anak derhaka ditahan

PADAH menimpa anak selepas ditahan polis kerana mengugut bapanya di Taman Kenari, Kulim, semalam.




Suspek yang dipercayai penagih dadah turut cuba melanggar bapanya menggunakan motosikal, namun terlanggar abangnya yang mahu menyelamatkan bapanya itu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, dalam kejadian 5.30 pagi itu, suspek berusia 32 tahun berkenaan cuba memasuki rumah mereka melalui tingkap sebelum ditegur adik perempuannya.

“Tindakan itu mengundang kemarahan suspek sebelum bapanya menegurnya dan berlaku pertengkaran antara kedua beranak berkenaan.




“Suspek kemudian bertindak membaling batu ke cermin tingkap dan serpihan kaca itu dan mengenai seorang ahli keluarga mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, suspek turut mengugut mahu memecahkan kepala adik perempuannya selain turut mengugut bapanya akan mati jika keluar dari rumah.

“Suspek kemudian menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan cuba melanggar bapanya, namun dihalang abangnya, mengakibatkan abangnya cedera pada lutut.

“Susulan pada itu, bapa suspek membuat laporan dan polis menahan lelaki terbabit di sekitar rumahnya jam 4.15 petang semalam,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan disiasat mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan.