Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Pahang belum buat keputusan lepas Sumareh

Image result for Muhamadou Sumareh malaysiaLIPIS 9 Okt. – Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) belum membuat sebarang keputusan bagi melepaskan pemainnya, Muhamadou Sumareh untuk menyertai pasukan negara.

Timbalan Presiden PBNP, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, pihaknya juga belum mengadakan perbincangan bagi melepaskan pemain kelahiran Gambia itu untuk menyertai pasukan negara.




“Kita tidak dapat rasmi lagi, mungkin itu cakap-cakap (pelepasan Sumareh) dan kita akan berbincang di peringkat majlis,” katanya di sini hari ini.

Hari ini Utusan Malaysia melaporkan pengendali Skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap Pahang akan melepaskan pemain naturalisasi berusia 27 tahun itu menyertai kem latihan pusat pasukan negara.

Terdahulu Sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Hang Tuah semalam sepatutnya menjadi yang pertama buat Mohamadou Sumareh bersama skuad negara namun kelibatnya tidak kelihatan, malah difahamkan pemain kelahiran Gambia itu masih belum mendapat pelepasan daripada Pahang.

Keadaan ini berlawanan de­ngan apa yang dijanjikan oleh pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang yang sebelum ini berkata pasukan itu tidak mempunyai hala­ngan untuk Sumareh dan dua lagi pemain Pahang untuk mewakili negara. Walau bagaimanapun penyerang veteran Norshahrul Idlan Talaha dan pemain pertahanan Matthew Davies telah mendaftar masuk kem bersama-sama 21 pemain lain.

Mengulas mengenai perkara itu pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap Pahang akan melepaskan pemain naturalisasi berusia 27 tahun itu menyertai kem latihan pusat pasu­kan negara bermula hari ini.



Beliau berkata, ketika ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang berusaha untuk mendapatkan pelepasan Sumareh daripada Pahang.

“Kami berharap, Pahang memberi kelulusan dan selepas dia hadir dalam kem ini barulah kita dapat mengujinya dan berharap Sumareh dapat mempamerkan aksi terbaik selain menyesuaikan diri dengan corak permainan.

“Setakat ini dalam peranca­ngan kita berkemungkinan dia akan bermain di posisi asalnya (sayap kanan) tetapi kita kena tunggu Sumareh lapor diri,” katanya.

Skuad negara akan berlatih selama tiga hari di Melaka sebelum berlepas ke Colombo pada Rabu untuk menentang Sri Lanka dalam perlawanan persahabatan pada 12 Oktober.

Seterusnya Harimau Malaya akan kembali ke Melaka pada 13 Oktober untuk latihan seterusnya bagi menghadapi Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat pada 16 Oktober sebelum bertemu Maldives di Stadium Nasional, Kuala Lumpur pada 3 November depan.

Tiga perlawanan persahabatan antarabangsa itu merupakan persiapan terakhir skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Piala AFF 2018 yang bakal berlangsung pada 8 November hingga 15 Disember. Skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.



,