Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

KKM Sahkan 2 Maut Akibat Laksa Di Baling, Pemilik gerai nafi laksa punca kematian

Image result for LaksaALOR SETAR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan (JKN) Kedah mengesahkan terdapat 19 kes keracunan makanan dengan dua mangsa meninggal dunia selepas dilaporkan memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling, minggu lepas.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata daripada jumlah itu, sembilan kes dengan dua kematian dilaporkan di Perak manakala 10 lagi dilaporkan di Kedah.

“Pada 6 Oktober lalu, KKM telah menerima satu notifikasi daripada Hospital Gerik mengenai dua kes keracunan makanan dengan satu kematian dan siasatan lanjut mendapati tujuh kes lagi daripada satu keluarga yang tinggal di rumah yang sama mengalami gejala demam, cirit-birit, dan muntah.

“Mereka dilaporkan telah memakan laksa pada 9.30 malam, 4 Oktober lalu yang dibeli oleh bapa si mati di sebuah gerai di Kupang, Baling pada hari yang sama pukul 5.30 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Norhizan berkata pada Ahad lalu, dua lagi kes telah dimasukkan ke Hospital Gerik kerana mengalami keracunan makanan setelah memakan laksa yang dibeli di kedai sama pada 4 Oktober dengan satu kes dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh namun pesakit meninggal dunia pada 2.31 petang, hari yang sama.




“Selain itu, 10 kes keracunan makanan berkaitan dengan laksa yang dibeli di kedai sama turut dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling dan mangsa telah mendapat rawatan di Hospital Baling.

“Siasatan masih diteruskan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah berkaitan di JKN Kedah dan JKN Perak untuk mengenal pasti kes-kes yang mempunyai gejala Keracunan Makanan (KRM) dan terdedah kepada makanan yang sama,” katanya.

Katanya JKN Kedah telah menjalankan pemeriksaan dan menguatkuasakan penutupan sementara ke atas gerai terbabit bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dengan beberapa sampel klinikal, sampel makanan dan persekitaran sudah diambil untuk ujian makmal dan sedang menunggu keputusan.

Sementara itu Daud yang berasal dari Kampung Landak, Kupang, yakin laksa yang dijual sejak 2003 tidak tercemar kerana disediakan dengan baik seperti biasa.

“Jika benar ia beracun (laksa) kami mati dulu,” itu kata pemilik gerai jualan laksa kebok, Daud Ismail, 51, yang kesal dengan tuduhan melulu ke atas perniagaannya tanpa usul periksa.

Katanya, setiap kali sebelum dijual, dia dan ahli keluarga akan merasa terlebih dahulu laksa berkenaan.

“Jika beracun, saya dan keluarga dulu yang akan mati malah kami berniaga sudah 15 tahun, cuma baru tiga tahun buka gerai depan rumah.

“Apa pun kami akan rasa dulu laksa sebelum dijual, sama ada masin, tawar atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, Daud berkata tiada sebarang bahan tambahan dimasukkan dalam laksanya selama ini.



“Kita sedia macam itu dari dulu, ubat tahan pun tak pernah dibawa masuk dalam masakan. Jika orang nak beli bawa balik jauh pun kami akan asingkan kuah sebab tak mau basi.

“Saya hanya mengetahui laksa dijual dikait dengan keracunan selepas Pejabat Kesihatan Daerah Baling datang melakukan pemeriksaan pada 11 pagi kelmarin,” katanya.

Menurut Daud, mereka mengambil sampel laksa, kuah dan sayur dan kali kedua mereka membuat pemeriksaan pada jam 9 pagi semalam namun hanya mengambil sayur sahaja.

“Kami juga hanya mengetahui ada dua orang mati selepas makan laksa ini malam kelmarin selepas menerima mesej yang tular.

“Selepas itu, saya rasa susah hati, nak makan nasi tak lalu, tidur tak lena dan fikir siapa lagi nak datang rumah,” katanya.

Daud berkata, pucuk selom digunakan dalam laksa pada hari Isnin hingga Ahad manakala salad pada Rabu hingga Sabtu.

“Pucuk Selom saya beli di Sik, jika ada baki akan dibawa sampai Selasa manakala salad pula dibeli dari pasar di Pekan Kupang di mana setiap minggu saya membeli di tempat sama.

“Kesan tular itu dapat dilihat apabila pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan dan menoleh ke gerai jualan saya kerana kebiasaannya tidak begitu,” katanya.

Dia berharap pihak berkuasa dapat siasat dengan adil dan menganggap ini ujian Allah serta sabar dengan apa yang berlaku,” katanya.