Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Kenapa baru cakap sekarang? – KJ

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Segala masalah melibatkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, bermula daripada infrastruktur, peralatan gimnasium serta pemakanan boleh selesai jika Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diberi maklumat awal.





Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, masalah melibatkan infrastruktur termasuk masalah padang boleh diselesaikan dengan merujuk perkara tersebut kepada kontraktor kerana akademi itu masih di bawah tanggungjawab mereka menerusi perjanjian ‘Defect Rectification’ selama dua tahun.

Katanya, mengenai isu gimnasium kosong, beliau sudah mengarahkan Institut Sukan Negara (ISN) semasa masih menjadi menteri untuk membuka tender membekalkan peralatan dan itu arahan terakhirnya sebelum mengosongkan jawatan selepas Parlimen dibubarkan.

Berhubung isu makanan yang dikatakan tidak berkualiti, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, perkara tersebut sepatutnya dirujuk kepada Majlis Sukan Negara (MSN) iaitu agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Akademi itu diserah pada awal tahun ini iaitu beberapa minggu sebelum parlimen dibubar. Saya juga sudah maklumkan permasalahan kepada JKR (Jabatan Kerja Raya) dan kontraktor.

“Kontraktor perlu bertanggungjawab untuk selesaikan apa sahaja kekurangan bagi meme­nuhi kehendak ‘end user’ iaitu KBS.


“Mengenai isu gimnasium kosong, sewaktu saya menjadi menteri, arahan terakhir saya ialah meminta ISN membuka tender iaitu lima bulan dahulu tetapi tak tahulah siapa yang tak buat kerja.

“Mengenai masalah pemakanan, KBS seharusnya merujuk perkara itu kepada MSN, cari dana tambahan jika makanan tidak mencukupi.

“Persoalan sekarang ini ialah, kenapa masalah ini tidak diselesaikan lebih awal? Semua orang tahu menteri masih baharu, jadi kenapa pegawai-pegawai tidak memberi maklumat terkini kepada menteri?,” katanya selepas merasmikan We Rock The Spectrum Gym di Melawati Mall, di sini hari ini.

Khairy mempertikaikan mengapa perkara itu hanya dimaklumkan kepada Syed Saddiq selepas beliau membuat lawatan mengejut ke akademi tersebut semalam.

Katanya, sewaktu menjadi menteri, pegawai-pegawainya sentiasa memberi maklumat terkini mengenai AMD dan lawatan ke tapak dibuat sekiranya diperlukan bagi menyelesaikan masalah-masalah berkaitan.

“Dalam projek besar seperti ini, banyak masalah dapat dilihat selepas projek itu selesai tetapi perkara itu masih di bawah tanggungjawab kontraktor menerusi perjanjian yang ditetapkan.

“Setiap projek pasti ada masalah, jadi kontraktor perlu selesaikan tetapi persoalannya kenapa ia tidak diselesaikan sedangkan saya sudah beri maklumat terkini sebelum tinggalkan KBS?,” kata­nya.



,