Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Hoki sumbang emas kedua Sukan Olimpik Remaja

KUALA LUMPUR: Kontinjen negara di Sukan Olimpik Remaja (YOG) memberi perkhabaran gembira apabila menambah satu lagi pingat emas menerusi pasukan hoki lelaki pada hari terakhir temasya berlangsung di Buenos Aires, Argentina.

Malaysia menewaskan India dengan jaringan 4-2 untuk pingat emas kedua negara selepas pemain badminton perseorangan wanita negara Goh Jin Wei menghadiahkan emas pertama negara Sabtu lalu.




Ia adalah pencapaian paling gemilang negara di temasya itu dengan memenangi dua pingat emas dan satu perak. Pingat perak negara yang disumbangkan oleh gimnas negara Ryana Hoh sebelum ini.

Skuad hoki bawah 18 negara mempamerkan aksi memberangsangkan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menang ke atas jaguh Asia itu.

Gol skuad lima sebelah negara disumbangkan oleh Muhammad Noor Firdaus Rosdi, Mohamad Akhimullah Anuar Esook serta kapten pasukan, Muhammad Amirul Hamizan Azahar.



Bagi Amirul ia satu pencapaian yang membanggakan dan yakin pencapaian ini akan membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya rasa seluruh rakyat Malaysia akan bangga dengan pencapaian skuad hoki negara. Kami akan meraikan kejayaan ini mungkin dengan makan coklat atau mendengar muzik,” kata Amirul.

Malaysia mula meraih pingat di YOG 2010 di Singapura menerusi penerjun negara Pandelela Rinong yang menyumbangkan dua perak.

Empat tahun kemudian di Nanjing, China, Loh Zhiayi juga dalam acara terjun menghadiahkan satu perak dan satu gangsa.