Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Argentina belasah Iraq tanpa kelibat Messi

PENYERANG Argentina Paulo Dybala (kanan) diasak pemain Iraq, Osama RIYADH, Arab Saudi 12 Okt. – Argentina, yang turun tanpa bintang Lionel Messi, membelasah Iraq 4-0 dalam aksi persahabatan hari ini dengan kesemua gol disumbangkan oleh Lautaro Martinez, Roberto Pereyra, German Pezzella dan Franco Cervi.




Penyerang Inter Milan Martinez meledak gol sulungnya bersama Argentina untuk meletakkan skuad bimbingan Lionel Scaloni di depan pada minit ke-18 di Stadium Putera Faisal bin Fahd.

Pereyra menambah gol kedua Argentina pada minit ke-53 sebelum Pezzella dan Cervi melengkapkan kemenangan tersebut dalam tempoh lapan minit terakhir.

Aksi persahabatan itu juga menyaksikan penjaga gol Sergio Romero, yang sebelum ini diketepikan pada Piala Dunia 2018 ekoran kecederaan lutut kembali memperkuatkan barisan La Albiceleste.



Scaloni selaku pemangku jurulatih Argentina pada bulan lalu berkata penyerang berbisa Barcelona Messi, 31, tidak akan dipanggil dalam jelajah Arab Saudi kerana mahu memberi fokus kepada pemain muda.

“Saya menggesa mereka untuk meraih kemenangan menerusi serangan tanpa henti dan terus menjaringkan gol. Ia merupakan satu ujian yang baik, kami sangat gembira dengan keputusan ini,” ujarnya.

Argentina seterusnya akan berdepan musuh kompetetif, Brazil di stadium Bandar Sukan Raja Abdullah di Jeddah Selasa depan.

“Kami akan ‘memarkir bas’, bertahan,” katanya berseloroh. “Sebenarnya kami mahu beraksi dengan baik, berjuang untuk kemenangan dengan tanpa rasa ragu-ragu.”- AGENSI