Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

VIDEO Bangkit tewaskan PSG, Klopp tabik pemain Liverpool

Liverpool manager Jurgen Klopp celebrates with his match winner on the pitch once the full-time whistle had soundedLIVERPOOL: Jurgen Klopp memuji ketajaman penyudah penyerang, Roberto Firmino dan Daniel Sturridge selepas menyaksikan Liverpool memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi tadi.

Skuad kendalian Klopp itu selesa mendahului dua gol menentang juara Perancis yang dibarisi ramai pemain bintang selepas Sturridge menanduk masuk gol pertama pada minit ke-30, sebelum James Milner menyempurnakan sepakan penalti, enam minit selepas itu.




Thomas Meunier memberikan gol pertama untuk PSG sebelum tamat babak pertama dan jaringan Kylian Mbappe memastikan pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-83.

Namun, penyerang Brazil, Firmino masuk sebagai penyerang gantian menjadi wira Liverpool dengan meledak gol kemenangan pada masa tambahan.

“Ia amat penting untuk memulakan kempen seperti yang kami lakukan ini. Kami menguasai bola dengan baik,” kata Klopp.

“Kami menukar sistem kerana kami menjangkakan mereka melakukan perubahan. Kami perlu terus fokus dan menutup setiap ruang. Kami menjaringkan gol menarik, mereka memang pantas.

Sturridge diturunkan dalam kesebelasan utama buat kali pertama musim ini dan yang pertama dalam perlawanan Liga Juara-Juara untuk tempoh enam tahun.



Selepas dipinjamkan ke West Bromwich Albion musim lalu, karier penyerang England yang kerap dilanda kecederaan itu tampak bakal berakhir.

Bagaimanapun dia kembali cergas dan sudah mengumpul dua gol bersama Liverpool setakat ini.

“Daniel (Sturridge) beraksi dengan cemerlang. Saya tidak pernah melihat dia cergas seperti ini sebelum ini. Dia sentiasa berada di setiap sudut dalam padang. Dia membantu bahagian kiri dan kanan, dia juga berada dalam kotak penalti ketika diperlukan,” kata Klopp.

Sturridge dibawa keluar untuk memberi ruang kepada Firmino yang diletakkan di bangku simpanan akibat kecederaan mata selepas dikasari pemain Tottenham, Jan Vertonghen dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Wembley pada Ahad lalu.

Namun, ia langsung tidak menjejaskan Firmino yang melepaskan rembatan deras menewaskan penjaga gol PSG, Alphonse Areola untuk menggamatkan Anfield.

Firmino berlari ke arah penyokong untuk meraikan gol itu dengan gaya tangan menutup sebelah matanya yang cedera.

“Anda boleh membawa masuk Bobby Firmino untuk membantu pasukan. Saya sukakan cara dia meraikan gol,” kata Klopp. -AFP

,