Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Satu lagi kelab Jepun minat uji Hadi Fayadh

HADI FAYADH ABDUL RAZAK (kanan) bersama Hiroshi Hamada (tengah) KUALA LUMPUR 15 Sept. – Penyerang bawah 19 tahun (B-19) negara Hadi Fayadh Abdul Razak bakal diterbangkan sekali lagi ke Jepun minggu depan untuk menjalani latihan bersama kelab Fajiano Okayama di Okayama bermula 19 hingga 23 September ini.

Kelab yang beraksi dalam divisyen 2 Liga Bola Sepak Profesional Jepun itu telah menghantar surat rasmi bagi mempelawa Hadi untuk menjalani latihan bersama skuad utama mereka.




Perkara tersebut disahkan oleh Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn. Bhd., Hiroshi Hamada, yang menjadi tulang belakang kepada impian pemain tersebut untuk beraksi bersama kelab dari negara matahari terbit itu.

“Selaku penaja kepada skuad bola sepak Malaysia, pihak Yakult akan membantu Hadi dalam menjalani latihan di sana dan saya harap dia dite­rima masuk dalam mana-mana pasukan untuk perkembangan karier­nya, sekali gus menyumbang kepada kemajuan bola sepak negara ini,” katanya.



Yakult sebelum ini telah menaja dan membantu Hadi bagi menjalani latihan di Jepun bersama kelab Roasso Kumamoto pada awal Ogos lalu.

Sementara itu, berhubung keputusan latihan Hadi bersama Roasso Kumamoto, Hamada berkata, beliau telah mendapat maklum balas positif daripada kelab itu.

“Mereka berjanji akan memberi jawapan selewat-lewatnya pada akhir Oktober ini. Saya secara peribadi mengharapkan Hadi dapat menunjukkan prestasi yang baik dalam sesi latihan bersama skuad senior Fajiano Okayama dalam usaha merebut tempat dalam kelab itu nanti,” jelasnya.



,