Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Roti canai janda laris!

Rosmaria Rosdi menunjukkan roti canai janda yang dijualnya di Tendong.-UTUSAN ONLINE PASIR MAS – Roti canai janda yang diperkenalkan oleh seorang ibu tunggal, Rosmaria Rosdi, 33, menjadi tular dalam kalangan penduduk di sekitar kawasan Tendong.




Rosmaria berkata, gelaran itu memberikan rezeki terpijak buatnya apabila gerai yang terletak berhampiran PKT Tendong tidak putus-putus didatangi pelanggan.

“Saya tidak kisah dengan pandangan masyarakat tentang gelaran roti canai janda. Kerana hasrat saya ialah mahu mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak masih lagi kecil,” katanya.

Menurutnya, idea untuk menggunakan nama roti canai janda itu dicadangkan rakannya, Zarilah Mat Zin, 46, kerana gelaran itu bertepatan dengan statusnya sebagai ibu tunggal kepada tiga cahaya mata.



“Saya hanya menjual RM1 sekeping untuk roti canai kosong yang dihidangkan bersama kuah kacang dal atau kari. Selain itu saya juga jual roti canai telur, bawang dan pelbagai lagi berasaskan roti canai,” katanya.

Rosmaria berkata, dia mula berniaga roti canai sejak tahun 2000 dengan mempelajari selok-belok pembuatan dan menebar daripada bapanya.

Katanya, perniagaan roti canai sudah menjadi darah dagingnya bagi menyara keluarga dan membesarkan tiga anaknya. – Sinar Harian