Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Orang kaya Jepun penumpang pertama SpaceX akan dibawa ‘bersiar’ mengelilingi Bulan

Yusaku Maezawa

SYARIKAT SpaceX milik Elon Musk mendedahkan penumpang pertamanya yang akan dibawa terbang ke angkasa mengelilingi Bulan.

Jutawan Jepun dan hartawan fesyen dalam talian Yusaku Maezawa, 42, mengumumkan: “Saya memilih untuk pergi ke Bulan”.

Dia dijangka menaiki roket Big Falcon (BFR), sebuah sistem pelancaran yang diperkenalkan oleh Musk pada tahun 2016.

Misi ini, yang buat masa sekarang dirancang untuk 2023, bakal menandakan lawatan pertama ke Bulan oleh manusia sejak Apollo 17 dari Nasa membuat pendaratan pada tahun 1972.

Pengumuman itu dibuat di ibu pejabat SpaceX di Hawthorne, California, Selasa.




Syarikat itu berkata penerbangan ini merupakan ‘satu langkah penting ke arah membuka akses untuk setiap orang yang mempunyai impian melakukan perjalanan ke angkasa’.

Sebelum ini di Twitter, Musk telah membayangkan bahawa penumpang itu adalah dari Jepun.

Maezawa menjadi tajuk utama tahun lalu selepas membayar AS$110.5 juta (£85.4 juta) untuk lukisan oleh artis Jean-Michel Basquiat dalam satu lelongan di New York.

Peminat seni itu pada Isnin berkata dia akan menjemput enam hingga lapan artis dari seluruh dunia untuk menyertainya ketika berlepas ke angkasa dengan roket SpaceX pada 2023.

“Mereka akan diminta untuk mencipta sesuatu selepas kembali ke Bumi. Karya-karya ini akan memberi inspirasi kepada dalam diri kita semua yang mempunyai impian,” katanya kepada pemberita.

Hanya 24 manusia yang telah melawat Bulan setakat ini dan semuanya warga Amerika. Beberapa misi Apollo mengorbit tanpa pendaratan, tetapi ‘ya’ untuk misi ini.

Bagaimanapun, pelancaran ini akan bergantung kepada roket yang belum dibina dan Musk berkata: “Tidak 100 peratus pasti kita boleh membawanya untuk penerbangan.”

Pada 2017, Musk mengumumkan bahawa beliau akan menghantar dua penumpang yang membayar untuk mengelilingi Bulan yang mana ia akan dilancarkan seawal tahun ini.

Pada masa itu, SpaceX telah menggunakan roket Falcon Heavy yang berat dan versi kapal angkasa Dragon yang sedia ada.

Tetapi pada Februari tahun ini, Musk berkata SpaceX akan memberi tumpuan kepada BFR untuk misi kru masa depan.

BFR tidak pernah terbang, tetapi Musk telah mengeluarkan beberapa butiran teknikal mengenainya. Roket itu dijangka mempunyai ketinggian 118 meter dan mempunyai diameter 9 meter.

Sebagai perbandingan, Falcon Heavy berukuran 70 meter tinggi dan terdiri daripada satu teras roket pusat yang dikelilingi oleh dua penggalak, masing-masing dengan diameter 3.66 meter.


SpaceX telah mempromosikan perjalanan ke bulan yang dibiayai oleh penumpang pada Februari 2017. Musk mengaku didekati beberapa individu yang serius dengan perjalanan tersebut.

“Kami telah didekati untuk melakukan misi dengan kru ke bulan oleh beberapa orang. Mereka sangat serius soal ini. Kami pun merancang melakukannya,” kata Musk.

Tidak dinyatakan berapa bayaran yang harus dibayar Yusaku kepada SpaceX untuk pergi ke bulan. Yang pasti, dia sangat gembira akan pergi menuju ke ‘lokasi’ idamannya.

“Sejak kecil, saya menyukai bulan. Ia selalu ada di sana dan terus menginspirasi manusia,” katanya. –BBC