Usain Bolt bakal sarung jersi The Mariners

Image result for bolt marinersSYDNEY: Pemenang pingat emas lapan kali Sukan Olimpik, Usain Bolt bakal menyertai kelab A-Leauge, Central Coast Mariners dengan tempoh yang ‘belum pasti’ ketika dia sedang berusaha merealisasikan impian bergelar pemain bola sepak profesional.

Atlet berusia 31 tahun yang bersara daripada sukan olahraga tahun lalu itu adalah seorang peminat tegar Manchester United dan mempunyai impian bermain bersama kelab terkemuka bola sepak.




Dia pernah mencuba nasib bersama pasukan di Jerman, Norway dan Afrika Selatan dan tidak mensia-siakan peluang dimilikinya itu.

Tidak dinafikan, The Mariners bersetuju untuk melihat kemampuannya dan legenda pecut itu dijadual tiba di padang latihan di Gosford, 75 kilometer (km) dari Sydney, bulan ini.

“Persetujuan antara Central Coast Mariners dan Usain Bolt tidak menjamin satu kontrak profesional,” kata kelab itu dalam laman web mereka.

“Tetapi ia menyediakan pemenang pingat emas lapan kali Olimpik itu dengan peluang untuk meraih keinginannya bermain bola sepak secara profesional.”

Bolt teruja dengan peluang diterimanya itu menjelang aksi pembuka tirai musim baharu A-League, Oktober ini.

“Saya sangat gembira untuk ke Australia dan berterima kasih kepada pemilik serta pengurusan Central Coast Mariners kerana peluang diberikan ini,” kata atlet dari Jamaica itu.



“Ia menjadi impian saya untuk bermain bola sepak secara profesional dan saya tahu ia memerlukan usaha gigih dan latihan bagi mencapai tahap diperlukan dan mencetuskan impak dalam A-League.

“Saya sentiasa menyatakan yang ‘tiada perkara mustahil, jangan terlalu memikirkan batasan’ dan saya tidak sabar untuk cabaran ini.”

Pemegang rekod dunia 100m dan 200m itu sebelum ini pernah berlatih bersama kelab Norway, Stromsgodset; kelab Bundesliga, Borussia Dortmund dan Afrika Selatan, Sundowns.

Bolt mendominasi acara pecut sejak meraih dua pingat emas individu di Sukan Olimpik Beijing 2008. Dia kemudiannya meraih enam lagi pingat emas dalam temasya berkenaan dan meraih 11 gelaran dunia. – AFP



Comments

comments