Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Tukar Jurulatih, TMJ tahu apa yang dilakukan – Safiq Rahim

Image result for Safiq RahimKUALA LUMPUR: Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim percaya rombakan besar-besaran yang terhadap barisan kejurulatihan tidak akan menjejaskan misi pasukan dalam memburu lebih banyak kejuaraan.

Safiq berkata, perancangan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merombak barisan kejurulatihan itu membuktikan beliau memiliki visi tersendiri dan hanya mencari individu yang boleh bekerja bersamanya.

Malah, bekas pemain tengah Selangor itu turut mengaku pelbagai kejayaan yang diraih JDT selama ini adalah disebabkan perancangan dan visi Tunku Ismail sendiri meskipun ramai jurulatih dan pemain saling ‘keluar masuk’.




“TMJ tahu apa yang mahu dilakukan. Jika anda sedar dan mengamati sejarah sejak dari permulaan kelab pada tahun 2013 sampai ke hari ini, baginda melakukan perkara secara konsisten iaitu sentiasa berjaya membuktikan orang lain salah.

“Sejak awal tiada orang lebih tahu apa yang terjadi dalam kelab kecuali TMJ. Ramai juga yang tak yakin.

“Selalunya, ada saja macam-macam persepsi dan teori berkenaan JDT tetapi kejayaan pasukan hari ini adalah kerana seorang individu dan kita semua tahu siapa yang dimaksudkan.

“Berapa banyak jurulatih dan pemain yang datang dan pergi?,” katanya menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers, hari ini.

Dalam masa sama, pemain tengah kebangsaan itu turut mengharapkan akan adanya filem atau dokumentari yang menceritakan apa yang terjadi di belakang tabir JDT dan bagaimana individu berkenaan mengubah pasukan menjadi sebuah kelab hebat.



Terdahulu, tidak sampai 24 jam sebelum aksi kedua Kumpulan C Piala Malaysia bertemu Kedah malam ini, juara bertahan Piala Malaysia itu membuat kejutan apabila menukar ketua jurulatih dan penolong ketua jurulatihnya.

Jurulatih Johor Darul Ta’zim II (JDTII), Benjamin Mora dilantik ketua jurulatih buat kali kedua dan beliau akan dibantu Hamzani Omar yang turut bersamanya ketika mengendalikan JDTII serta bekas pemain, Luciano Figueroa selaku pengurus.

Sementara itu. kekosongan yang ditinggalkan Mora dan Hamzani menyaksikan jurulatih Johor Darul Ta’zim III (JDTIII), Ervin Boban dinaikkan pangkat mengendalikan JDTII dengan kapten JDTII, Shakir Shaari pula akan dihantar menjalani kursus kejurulatihan untuk menjadi pembantu.



,