Shahrel Fikri buka akaun gol di Liga Thailand

Image result for Shahrel FikriKUALA LUMPUR: Penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md Fauzi akhirnya membuka akaun gol bersama pasukannya, Nakhon Ratchasima selepas dua bulan bersama pasukan Liga Divisyen 1 Thailand itu.




Pencapaian ini sekali gus menyaksikan dia muncul sebagai rakyat Malaysia pertama berjaya menjaringkan gol di bumi ‘Gajah Perang’ itu, meskipun menjadi pemain ketiga beraksi di negara terbabit selepas bekas pemain Pahang, Kiko Insa dan bekas pemain FELDA United, Curran Ferns.

Selepas kempunan untuk menjaringkan gol pada aksi liga, bekas penyerang PKNP mampu tersenyum apabila berjaya menjaringkan gol sulung bersama pasukannya itu pada aksi suku akhir Piala Liga Thailand bertemu Ranong United, malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Ulang Tahun ke-80, penyerang berusia 23 tahun itu diturunkan dalam kesebelasan utama dan nyata dia membalas kepercayaan yang diberikan dengan meledak gol ketiga buat pasukannya.

Dia memanfaatkan hantaran lambung daripada rakan sepasukannya sebelum melakukan voli menggunakan kaki kanan yang menerjah gawang Ranong United pada minit ke-72, sekali gus membolehkan pasukan ‘The Swat Cat’ itu selesa berkelebihan tiga gol.


Namun, pasukan Divisyen 3 Thailand itu berjaya meledak gol saguhati menerusi sepakan penalti pada minit akhir untuk menjadikan kedudukan 3-1, tetapi itu belum cukup menafikan kemaraan Nakhon Ratchasima untuk menempah tiket ke separuh akhir Piala Liga Thailand.

Menanti mereka di separuh akhir adalah Buriram United, Chiangrai United atau Bangkok Glass FC dengan undian separuh akhir akan berlangsung pada 14 Ogos bagi memburu trofi yang menawarkan tempat untuk beraksi pada Kejuaraan Kelab Mekong 2018.

Sebagai rekod, Shahrel mula menyertai Nakhon Ratchasima pada Jun lalu sebagai pemain pinjaman dengan tempoh selama lima bulan.

Dia melakukan penampilan pertamanya dalam Liga 1 Thailand ketika bertemu Sukothai FC pada 30 Jun lalu yang menyaksikan perlawanan berkesudahan 1-1.



Comments

comments

,