Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Malaysia jangka aksi ‘ala Rusia’ bertemu Kyrgyzstan

SEPANG 13 Ogos – Pasukan bawah 23 tahun Malaysia bersiap sedia untuk menghadapi aksi bola sepak ‘ala Rusia’ apabila menentang Kyrgyzstan dalam perlawanan pembukaan Sukan Asia 2018 di Bandung, Rabu ini.

Jurulatih penjaga gol negara, Yong Wai Hwang berkata, selepas menonton video perlawanan ­Kyrgyzstan, pasukan itu dilihat memiliki corak permainan Eropah.



“Kita kena bersedia dengan corak permainan tipikal Eropah seperti Rusia apabila berdepan Kyrgyzstan.

“Ia tidak mudah namun pa­sukan kita sudah dipersiapkan untuk menangani corak semua pasukan yang bertanding di Indonesia,” katanya ketika ditemui di Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Selain Kyrgyzstan, Malaysia, yang berlepas ke Indonesia hari ini turut diletak bersama gergasi Asia, Korea Selatan dan Bahrain dalam Kumpulan E.

Kyrgyzstan bukan lawan asing buat Malaysia kerana kedua-dua negara pernah bertemu dalam Sukan Asia 2010 di Guangzhou.

Walaupun skuad B-23 yang dibimbing Datuk K. Rajagoba menang 2-1, lapan tahun lalu, namun kemenangan tersebut tidak hadir dengan mudah.

Malaysia yang kini dibimbing Datuk Ong Kim Swee berdepan ujian berbeza apabila bertemu Kyrgyzstan sekali lagi selepas terpaksa melakukan rombakan saat akhir akibat kecederaan pemain.

Pemain tengah Felda United, Danial Amier Norhisham terpaksa digugurkan akibat cedera pangkal paha kiri dan dia digantikan oleh Rodney Celvin Akwensivie.

“Selepas berbincang dengan doktor dan melihat keadaan Danial pada latihan pagi tadi, kami mendapati kecederaan pangkal pahanya mungkin mengambil masa lebih lama untuk pulih.


“Memandangkan masa sudah terlalu suntuk menjelang dua perlawanan awal bertemu ­Kyrgyzstan, Rabu ini dan Korea Selatan (17 Ogos), saya memerlukan pemain yang lebih cergas untuk diturunkan.

“Walaupun diakui posisi te­ngah agak kekurangan pemain, saya mengambil keputusan untuk menyenaraikan semula Rodney (pertahanan) bagi melengkapkan senarai 20 pemain akhir,” kata Kim Swee.

Ketiadaan Danial menyebabkan Kim Swee hanya memiliki tiga pemain tengah iaitu Baddrol Bakhtiar, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Syahmi Safari.

“Ketiadaan Danial tidak mengganggu perancangan saya kerana saya tidak menyenaraikannya dalam dua aksi persahabatan terakhir menentang China dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Irfan Zakaria bermain di bahagian tengah bersama Kuala Lumpur begitu juga R. Kogileswaran (Pahang).

“Saya tidak nampak akan ada masalah jika berlaku kecederaan atau penggantungan (mengutip kad kuning),” katanya lagi.