Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

EPL: Watford belum lagi tewas

LONDON: Ketika bukan sesuatu yang mengejutkan apabila melihat Liverpool dan Chelsea mencatat rekod 100 peratus selepas tiga aksi awal Liga Perdana Inggeris, pasti tidak ramai yang menjangka Watford mampu duduk sebaris dengan dua kelab gergasi berkenaan.



Sama seperti Chelsea, Watford yang berpangkalan di Hertfordshire dan hanya pernah beraksi di peringkat Eropah 35 tahun lalu, melengkapkan tiga kejayaan berturut-turut setakat ini dan terbaru, mereka menundukkan Crystal Palace 2-1. Sebelum ini, Watford mengalahkan Brighton dan Burnley.

Begitupun, kekerapan pucuk pimpinan kelab yang gemar menukar pengurus serta pemain sering mengakibatkan pasukan itu dilanda masalah dan tidak stabil di dalam bola sepak.

Mendiang Graham Taylor pernah membimbing kelab selama 10 tahun, bermula 1977-87 dan beliau membawa pasukan itu daripada divisyen empat ke Liga Perdana hasil bantuan kewangan yang dihulurkan bintang rock tempatan, Elton John.

Pada 1983, mereka menamatkan musim selaku naib juara di belakang Liverpool dan setahun kemudian, layak ke final Piala FA.


Bagaimanapun, sejak 10 tahun lalu, Watford melantik jurulatih seperti menukar baju dan tidak kurang 13 pengendali yang bersama mereka.

Ada di antara bekas jurulatih Watford seperti Brendan Rodgers, Sean Dyche dan Slavisa Jokanovic, mencipta nama di kelab lain. Paling memalukan, salah seorang pengendali Watford, Billy McKinlay hanya bertahan selama lapan hari.

Sejak lima musim lalu, mereka dibimbing jurulatih berlainan iaitu Jokanovic, Quique Flores, Walter Mazzarri, Marco Silva (kini di Everton) dan Javi Gracia.

Pertemuan menentang Tottenham Hotspur minggu depan akan menjadi ujian sebenar terhadap kemampuan Watford dan bakal menjadi penanda sama ada mereka mampu atau tidak untuk membuktikan tahap mereka. – AFP



,