Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Dilema Heung-min, Menang emas atau jalani latihan ketenteraan

Image result for Son Heung-minJAKARTA 14 Ogos – Son Heung-min sudah mem­buktikan kemampuan dalam Piala Dunia dan Liga Perdana Inggeris, namun Sukan Asia di Indonesia yang bermula minggu ini adalah medan untuk menyelamatkan karier bola sepak penyerang berprolifik itu.

Selepas mengharungi Piala Dunia di Rusia dan sempat ber­aksi dalam satu perlawanan Liga Perdana untuk Tottenham, Sabtu lalu, Heung-min, 26, sanggup terbang sejauh 12,000 kilometer bagi menyertai skuad bawah 23 Korea Selatan bagi menggalas tugas berat di Indonesia.



Pemain berusia 26 tahun itu perlu memastikan pingat emas dalam genggaman Korea Selatan. Jika gagal, dia perlu menjalani latihan ketenteraan hampir dua tahun.

Itu antara syarat yang dikenakan kepadanya yang menyebabkan dia berada dalam situasi ‘rela paksa’ untuk datang ke temasya Jakarta-Palembang.

Tottenham juga terpaksa melepaskan pemain itu kerana ia sudah terkandung dalam perjanjian dengan kerajaan Korea.

Kegagalan mencapai matlamat dalam Sukan Asia akan menyebabkan Heung-min terpaksa melupakan bola sepak selama dua tahun, tidak kira dalam skuad kebangsaan mahu pun kelabnya di England.

Kerajaan Korea Selatan me­netapkan setiap warganegara lelakinya perlu menyertai latihan ketenteraan paling minimum 21 bulan sebelum mencapai umur 28 tahun tidak kira apa status mereka.

Sudah tentu Heung-min yang berstatus penjaring terbaik Asia di Eropah dan dianggap selebriti di negaranya tidak terkecuali daripada syarat tersebut.

Jadi persoalan atau rasa pelik kenapa dia sanggup datang bertanding ke Indonesia, kini telah terjawab.



Cara lain bagi pemain bola sepak elit Korea Selatan mendapat pengecualian daripada dipanggil untuk latihan ketente­raan ialah sekurang-kurangnya memenangi pingat dalam Sukan Olimpik atau Piala Dunia.

Ketika negaranya bakal turun sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara, Heung-min sebenarnya mengisi kuota tiga pemain yang berumur lebih 23 tahun yang dibenarkan dalam setiap pasukan bertanding.

Jepun, Arab Saudi dan Iran dilihat sebagai pencabar utama mereka. Se­andainya Korea Selatan mara ke final, Heung-min bakal terlepas aksi Tottenham menentang Fulham, Manchester United dan Watford.

Korea Selatan dijangka tidak menghadapi masalah untuk melepasi Kumpulan E yang turut dibarisi Malaysia, Bahrain dan Kyrgyzstan.

Dia yang menjaringkan antara gol kemenangan Korea Selatan pada masa kecede­raan ketika menyingkirkan Jerman pada Piala Dunia lalu, baru sahaja me­nyambung kontrak lima tahun lagi dengan Spurs, bulan lalu. – AFP