Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

17 pengawal keselamatan JPM direman: Sita hampir RM1j, 11 motosikal, 5 kereta

Image result for 17 pengawal keselamatan JPM diremanWANG tunai berjumlah hampir RM1 juta, lima kereta , 11 motosikal dan pelbagai barangan kemas disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan membabitkan 17 pegawai keselamatan Jabatan Perdana Menteri.

Aset dan wang tunai itu dipercayai hasil penyalahgunaan wang peruntukan Pilihanraya ke-14 yang didakwa diambil daripada pejabat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Difahamkan jumlah aset yang disita SPRM adalah wang tunai berjumlah RM978,800, lima kereta , 11 motosikal, lima cincin, gelang, empat rantai, 11 telefon bimbit serta perkakas elektrik.



Lima kereta itu adalah Volkswagen Golf GTI , tiga Honda dan sebuah Perodua Alza.

Manakala 11 motosikal pula terdiri daripada lima berjenama Yahama dan selebihnya berjenama Honda.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penyitaan itu dan berkata, pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan.

Katanya, SPRM kini sedang melakukan proses penilaian harga susulan sitaan berkenaan.

Media melaporkan 17 anggota keselamatan didakwa mengambil wang itu daripada pejabat Najib selepas mengetahui Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Wang yang dilaporkan tidak disimpan dalam peti keselamatan itu dikatakan adalah sebahagian daripada dana pilihan raya UMNO.

Anggota keselamatan terbabit dipercayai sebahagian daripada pasukan bertugas pada malam PRU-14 lalu, untuk menyediakan kawalan keselamatan di jabatan berkenaan.

SPRM mendapatkan perintah tahanan reman lima hari terhadap suspek berusia antara 31 hingga 51 tahun di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.



Terdahulu dilaporkan TUJUH BELAS pengawal keselamatan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) direman lima hari, bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berjumlah RM3.5 juta.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Nabilah Abd Rashid di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Difahamkan, mereka disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, kesemua mereka tiba di perkarangan Kompleks Istana Kehakiman kira-kira jam 9.15 pagi dengan bas SPRM.

Sementara itu, sumber SPRM berkata, kesemua mereka ditahan antara 2.45 hingga 3.15 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Mereka yang ditahan termasuk seorang pegawai keselamatan Gred KP52 berusia 51 tahun dan 16 pengawal keselamatan masing-masing Gred KP11 hingga 38 berusia antara 31 hingga 51 tahun.

Sumber berkata, kesemua mereka bertugas di Kompleks B, JPM.

SPRM turut merampas wang tunai RM840,700 dan sembilan buah motosikal bernilai RM90,000 daripada semua suspek.