Peluang England, Croatia dalam separuh akhir seimbang

Image result for england croatiaSAINGAN separuh akhir antara England dengan Croatia bukanlah sesuatu yang diramal oleh kebanyakan peminat bola sepak dalam kempen Piala Dunia 2018 di Rusia malah ketika sepak mula kejohanan ada beranggapan dua pasukan berkenaan mungkin mengulangi pencapaian 2014 iaitu tersingkir sewaktu aksi pusingan awal.




England melangkah ke saingan separuh akhir selepas mempamerkan aksi meyakinkan dalam saingan suku akhir ketika menewaskan Sweden manakala Croatia terpaksa berpeluh sehingga ke penentuan sepakan penalti untuk menundukkan tuan rumah, Rusia.

Ketika ini England dan Croatia masing-masing mempunyai peluang untuk mara ke saingan akhir Piala Dunia 2018 malah dua pasukan tersebut mempunyai kekuatan dan kelemahan dalam kempen di Rusia.

Dalam saingan akhir kesilapan kecil daripada mana-mana pasukan mampu mendatangkan padah dan perlu di ingat bola itu bulat, apa sahaja boleh berlaku.

Sewaktu saingan separuh akhir, Croatia dijangka menggunakan formasi 4-2-3-1 yang dilihat mempunyai kekuatan di bahagian pertahanan serta tengah manakala England 3-1-4-2 memberi fokus kepada jentera serangan dan tengah.





Bagi England untuk meraih kemenangan ke atas Croatia, skuad Three Lions harus lebih banyak melakukan serangan balas pantas dalam masa sama cuba mendapatkan peluang untuk aksi sepakan sudut atau sepakan percuma berhampiran kawasan kotak penalti Vatreni.

Sepanjang kempen Piala Dunia di Rusia dapat dilihat Croatia amat lemah ketika berdepan set-piece pasukan lawan terutama sewaktu sepakan sudut atau sepakan percuma malah mereka mudah terdedah kepada kesilapan sendiri.

Ketika aksi suku akhir menentang Rusia, jaringan penyamaan tuan rumah hadir menerusi sepakan percuma yang menyaksikan Mario Fernandes tidak dijaga dengan baik malah gol awal Denmark menentang Croatia diperoleh melalui hantaran bola jauh.

Formula set-piece yang lebih kreatif harus dipamerkan oleh England bagi mencerahkan peluang mereka mendapatkan jaringan.



Bagi Croatia pula, tiada siapa menjangka mereka berupaya melangkah ke saingan separuh akhir malah status underdog skuad bimbingan Zlatko Dalic mampu mengurangkan tekanan mereka dalam aksi menentang England, jika kecundang sekali pun skuad Vatreni tetap berpeluang mengulangi pencapaian 1998 di tempat ketiga.

Kurang tekanan, semangat juang tinggi dan kekuatan di bahagian tengah Croatia akan menjadi kelebihan untuk mereka lebih selesa beraksi dalam saingan separuh akhir.

Barisan tengah Croatia terbahagi kepada dua bahagian iaitu bertahan dan menyerang terdiri daripada Ante Rebic, Andrej Kramaric, Ivan Perisic, Luka Modric dan Ivan Rakitic, mereka adalah kekuatan utama untuk formasi 4-2-3-1 yang dilihat membolehkan pasukan itu bergerak secara mobile selain mudah melakukan serangan balas.



Comments

comments

,