Pahang juara Piala FA 2018

KUALA LUMPUR: Impian Selangor untuk menempah tiket ke pusingan kelayakan Liga Juara Juara Asia (ACL) musim hadapan lebur selepas mereka dijinakkan Pahang 2-0 pada aksi final Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.




Kekalahan ini menyaksikan mereka terus kempunan untuk meraih trofi berprestij itu untuk tahun kesepuluh sejak kali terakhir memenanginya pada tahun 2009 dengan menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan penalti di venue sama.

Sebaliknya, skuad Tok Gajah mampu tersenyum lebar apabila berjaya menebus kekecewaan tewas pada aksi final Piala FA di tangan Kedah tahun lalu sekali gus merangkul trofi itu buat kali ketiga selepas 2006 dan 2014.

Tiada percubaan berbahaya dapat disaksikan dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan meskipun kedua-dua pasukan menghasilkan beberapa gerakan menarik untuk memburu gol pembukaan.

Selangor terlebih dahulu beroleh peluang seawal minit kelima menerusi gerakan solo Amri Yahyah namun ketika dia memiliki sudut terbaik untuk melakukan rembatan, dia sebaliknya memilih untuk melakukan hantaran yang akhirnya disekat pertahanan Pahang.

Kelibat Mohamadou Sumareh memberi mimpi ngeri kepada pertahanan Selangor apabila gerakannya membolehkan dia membuat hantaran kepada Austin Iwuji namun percubaan pemain import itu tersasar apabila sedikit terkena pertahanan Selangor enam minit berselang.





Bagaimanapun, percubaan tepat pertama Pahang membawa tuah apabila gerakan yang dimulakan Sumareh menemui Norshahrul Idlan Talaha yang melakukan hantaran sebelum dirembat kencang oleh Nor Azam Azih untuk gol pertama Pahang minit ke-22.

Gol pembukaan itu nyata mengubah haluan perlawanan dengan Pahang mula mendapat rentak dan semakin ‘menggila’ untuk mengasak kubu Selangor yang menyaksikan percubaan lencong Norshahrul tepat ke dakapan Khairul Azhan Khalid pada minit ke-25 sebelum Khairul Azhan cemerlang menepis tandukan Safuwan Baharudin pada minit ke-36.

Taktikal Selangor yang kerap menghantar bola ke belakang pertahanan Pahang untuk mencari Rufino Segovia juga mudah dipatahkan pertahanan Pahang sekali gus menyaksikan kelibat penjaring terbanyak Piala FA itu tenggelam pada aksi itu.



Pahang seharusnya beroleh gol kedua selepas hantaran Sumareh menemui Patrick Cruz namun tandukan Cruz meliar meskipun dia berada betul betul di hadapan gol seminit selepas babak kedua bersambung.

Selangor yang masih lagi ‘hanyut’ apabila bergelut mencari rentak cuba mengejutkan Pahang menerusi hantaran jauh yang menemui Rufino namun percubaan penyerang import Sepanyol itu terlalu tinggi melewati palang pada minit ke-58.

Selangor cuba menambah sengat di jentera serangan dengan memasukkan Evan Dimas pada minit ke-59 namun belum sempat perancangan baharu disusun, semangat mereka direntap selepas kesilapan Alfonso de la Cruz yang menjatuhkan Iwuji dihukum menerusi sepakan penalti dan ia mudah disempurnakan Cruz untuk gol kedua Pahang pada minit ke-62.

Namun, segalanya seakan tidak menjadi buat Selangor beberapa asakan yang dilakukan pada 10 minit terakhir tetap gagal ‘mencemaskan’ Helmi Eliza Elias dan mereka terpaksa akur melihat piala yang diidamkan itu menuju ke bumi Kuantan.



Comments

comments

,