Marah Idolanya Diejek, Peminat Messi Ceraikan Isterinya

Marah Idolanya Diejek, Fans Messi Ceraikan IstrinyaTEMASYA sukan yang besar seperti Piala Dunia sepatutnya mengeratkan hubungan sesama insan yang masing-masing mempunyai pasukan atau pemain kegemaran.




Tetapi untuk pasangan dari Rusia yang sudah berkahwin selama 14 tahun, Piala Dunia 2018 adalah alasan untuk mereka bercerai.

Arsen, 40, dan Ludmyla, 37, adalah peminat bola sepak tegar. Malah, mereka bertemu di sebuah bar sukan di Chelyabinsk semasa Piala Dunia 2002 dan mereka mula rapat gara-gara minat mendalam terhadap sukan ini.

Walaupun mereka adalah peminat dua kelab bola sepak Moscow, Spartak Moscow dan CSKA Moscow yang saling bersaing, ia tidak menghalang mereka daripada berkahwin.

Minggu lalu, minat mereka terhadap dua pesaing terbesar dalam sejarah bola sepak moden, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo telah menyebabkan perkahwinan mereka selama 14 tahun berakhir.





Arsen memberitahu akhbar Rusia, Argumenti i Fakty bahawa dia dan isterinya saling mengejek antara Messi dan Ronaldo, tetapi dalam Piala Dunia kali ini dia tidak tahan lagi.

Selepas pertandingan mengecewakan Argentina di Piala Dunia 2018, Ludmyla mula mengejek prestasi Messi yang diminati suaminya dan bagaimana Messi tidak dapat bermain bola sepak dengan baik tetapi Arsen tidak mengendahkannya.

Walau bagaimanapun, semasa perlawanan Argentina menentang Nigeria, Arsen tidak dapat menahan kemarahannya lagi.

Dia meraikan gol Messi, yang mana isterinya mula mengejeknya lagi dan dia sudah hilang sabar .

“Saya sudah tak dapat tahan sabar lagi,” kata Arsen kepada koresponden Chelyabinsk dari Argumenti i Fakty.



“Sejak awal Piala Dunia, Lyudmila sentiasa mengejek saya dan pemain kegemaran saya, menyatakan bahawa dia tak pandai main dan tak dapat jaringkan gol penting penalti dalam perlawanan dengan Iceland.

“Dan semasa perlawanan dengan Nigeria saya sangat bimbang untuk mereka (Argentina). Apabila dia sekali lagi mula bercakap buruk tentang Lionel dan persembahannya, saya marah.

“Masa itu giliran saya pula untuk bercakap segala yang saya fikirkan tentang Ronaldonya yang kacak, pasukan kebangsaan Portugal, diri isteri saya sendiri dan semua kelab bola sepak lain yang digila-gilakan oleh Lyudmila.

“Kemudian saya ambil semua barang saya dan terus keluar rumah.”

Keesokan harinya, Arsen dilaporkan pergi ke pejabat pendaftaran awam Chelyabinsk dan memfailkan perceraian.



Comments

comments

,