Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Empat lagi ‘budak gua’ dikeluarkan

Image result for thailand rescue caveBANGKOK – Petugas-petugas penyelamat di Thailand semalam membawa empat budak lelaki ke­luar dari sebuah gua dibanjiri air di mana 12 anggota sebuah pasukan bola sepak remaja dan jurulatih mereka terpe­rangkap selama lebih dua minggu, menjadikan bilangan keseluruhan mangsa yang di­selamatkan meningkat kepada lapan orang.

Seorang saksi agensi beri­ta Reuters berhampiran Gua Tham Luang di wilayah Chiang Rai, utara Thailand melihat pekerja-pekerja perubatan membawa keluar empat orang dari gua itu menuju ke bebera­pa buah ambulans yang me­nunggu di lokasi kejadian.




Operasi menyelamat itu dilancarkan kelmarin, manakala empat kanak-kanak dibawa ke­luar pada hari berkenaan.

“Setakat ini, seramai lapan budak lelaki itu telah meninggalkan Gua Tham Luang,” kata seorang pegawai yang terlibat dalam operasi menyelamat kepada Reuters.

Terdahulu, agensi berita Bernama memetik media Thai­land melaporkan bahawa kanak-kanak pertama daripada empat mangsa berkenaan muncul dengan selamat di pintu Gua Tham Luang pada pukul 4.45 petang (waktu tempatan) dan dibawa menaiki helikopter ke Hospital Prachanukroh di Chiang Rai untuk mendapat rawatan se­gera.





Tiga kanak-kanak lain dise­lamatkan dalam selang masa cepat dan dibawa keluar dari gua itu oleh anggota penyelamat bermula pukul 6.20 petang, demikian menurut media Thailand.

Mereka menerima rawatan perubatan daripada kakita­ngan perubatan tentera yang ditempatkan berhampiran Gua Tham Luang sebelum diterbangkan ke hospital sama.

Perkembangan itu bermakna empat lagi anggota pasukan bola sepak remaja Mu Pa (Babi Hutan) itu dan jurulatih mereka masih terperangkap.



Kesemua 12 budak lelaki itu yang berumur antara 11 hingga 16 tahun dan jurulatih mereka, terperangkap sejauh 4 kilometer di dalam gua berkenaan pada kedalaman hingga 1 kilometer dari permukaan tanah selama lebih 14 hari sebelum operasi menyelamat dilakukan.

Terdahulu, penyelam-penyelam menyelam di dalam gua ditenggelami air banjir itu untuk hari kedua berturut-turut dalam usaha menyelamat penuh bahaya, manakala ke­tua operasi menyelamat ber­kenaan, Narongsak Osottanakorn menjanjikan ‘berita baik’ susulan kejayaan kelmarin.

“Semua peralatan siap sedia,” kata Narongsak Osotta­nakorn kepada wartawan menjelang tengah hari sema­lam selepas mengumumkan fasa kedua operasi menyelamat sudah bermula.

“Saya harap kita semua akan mene­rima berita baik dalam masa beberapa jam lagi,” katanya. – Bernama/ Reu­ters/AFP

A post shared by Elon Musk (@elonmusk) on