Bola Emas tidak cukup menggembirakan Modric

MOSCOW 16 Julai – Kapten Croatia, Luka Modric berkata, dia menerima anugerah Bola Emas selaku pemain terbaik Piala Dunia dengan perasaan ‘pahit dan manis’ selepas pasukannya tewas 2-4 kepada Perancis dalam perlawanan akhir semalam.




“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memilih saya namun secara jujurnya saya memilih untuk memenangi Piala Dunia.

“Kini kami akan berehat dan dalam beberapa hari lagi akan meraikannya kerana ini tetap satu pencapaian buat Croatia, namun ketika ini saya masih rasa pahit dalam kemanisan.

“Kami bangga dengan pencapaian ini namun agak sedih kerana tewas dalam perlawanan akhir,” katanya.

Croatia menguasai permainan sebelum jaringan sendiri Mario Mandzukic dan penalti daripada Antoine Griezmann meletakkan Perancis 2-1 di hadapan.




Gol terakhir Croatia dalam kempen Piala Dunia 2018 hadir menerusi Mandzukic namun tidak cukup untuk membantu kebangkitan pasukannya.

“Walaupun saya merasakan bahawa kami mampu meraih lebih lagi namun kami tidak dapat menukar apa-apa ketika ini.

“Kami hanya boleh berbangga dengan apa yang telah kami lakukan, jangan mudah berputus asa dan terus berjuang,” kata Modric.


Sementara itu, pemain tengah Croatia, Ivan Rakitic berkata, walaupun pahit ketika menerima keputusan sistem video bantuan pengadil (VAR) yang membolehkan Perancis dihadiahkan sepakan penalti namun dia tetap mengakui sistem itu banyak membantu kempen Piala Dunia 2018.

Katanya, masih banyak perkara dalam VAR yang harus ditambah baik lagi selepas ini.

“Saya faham mereka mahu menambah baik perkara dalam VAR namun bagi saya memerlukan satu pembaharuan yang menyeluruh.

“VAR membantu namun masih belum cukup sempurna,” katanya. – AFP



Comments

comments

,