Seorang Lelaki Ditahan, Pamer Nombor Pendaftaran Palsu

Image result for roadblock di dutaKUALA LUMPUR, 13 Jun : Gara-gara ingin meloloskan diri daripada dikesan kamera perangkap had laju akibat memandu laju, seorang lelaki ditahan polis kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada kenderaannya ketika sekatan jalan raya sempena Op Selamat ke-13 Hari Raya Aidilfitri 2018 yang diadakan di Plaza Tol Duta, malam tadi.





Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) (Kepolisan Am/ Siasatan/ Sumber) JSPT, ACP Md Dali Wahid berkata anggotanya telah mengenal pasti lelaki itu berbuat demikian sebelum memasuki plaza tol berkenaan.

“Sebelum tiba di Plaza Tol Duta, dia dipercayai telah menukar nombor plat kenderaannya. Ini dilakukan bagi mengelak kenderaannya dikesan perangkap had laju sewaktu memandu oleh kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di lebuh raya,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena operasi itu di Plaza Tol Duta, malam tadi.

Beliau berkata lelaki itu ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 108(3) (f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor plat pendaftaran palsu.

Selain itu, beliau berkata seramai 10 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 32 anggota terdiri daripada JSPT dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) termasuk seorang pegawai dan enam anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terlibat dalam operasi kali ini.

Menurutnya, sebanyak 27 saman telah dikeluarkan bagi kenderaan seperti bas dan lori atas pelbagai kesalahan seperti memandu melebihi had laju.



Tambah Dali, pemeriksaan juga dilakukan terhadap penunggang motosikal dan sebanyak 78 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

“Penunggang dan pembonceng motosikal merupakan penyumbang utama kemalangan maut dan diharap operasi yang dilakukan kali ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.



Comments

comments