Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Panama sedia ‘ajar’ England

Related imageREPINO, Rusia 23 Jun – Panama mungkin hanya memiliki satu stadium padang rumput, namun mereka sudah bersedia untuk menjadi ‘mimpi ngeri’ buat skuad glamor England dalam aksi kedua Kumpulan G esok.

Bekas pengurus Los Canaleros, Gary Stempel berkata, negara itu hanya pasukan kerdil Piala Dunia dan tidak mempunyai kemudahan bola sepak yang sempurna, namun mereka mempunyai jiwa besar dan sedia melakar kejutan ke atas Three Lions di Stadium Nizhny Novgorod.





“FA (Persatuan Bola Sepak England) sedang merancang untuk menjual stadium mereka, Wembley pada harga 900 juta pound (RM4.7 bilion) dan kami di Panama pula hanya ada satu padang rumput.

“Selebihnya adalah padang rumput tiruan atau kerikil, yang membolehkan perlawanan diadakan dalam semua cuaca.

“Kalau bercakap tentang kemudahan, ya kami kalah teruk kepada England, malah kebanyakan pemain kami juga tiada latar belakang bola sepak yang baik,” kata Stempel, yang kini berada di Rusia untuk membantu jurulatih Panama, Hernan Dario Gomez.

Biarpun dibenam 3-0 oleh Belgium dalam penampilan sulung Piala Dunia, Isnin lalu, namun katanya, Panama tetap bersemangat mencari mata pertama di Rusia.

Sementara itu, England yang memulakan kempen dengan menumpaskan Tunisia 2-1 dijangka merehatkan Dele Alli daripada kesebelasan utama akibat kecederaan paha.

“Kami kena tunggu dan lihat sama ada Dele boleh cergas. Ia nampak seperti mustahil (dapat beraksi) tetapi dia menunjukkan perkembangan yang baik dan kami belum mengetepikannya,” kata pengurus pasukan, Gareth Southgate.

Pemain Chelsea, Ruben Loftus-Cheek dijangka mengisi kekosongan Alli, manakala penyerang muda Manchester United, Marcus Rashford disebut-sebut bakal mengetepikan Raheem Sterling.



“Kami membawa 23 pemain ke sini, jadi setiap perlawanan pasti ada barisan pemain yang berbeza.

“Saya tidak minat drama, tetapi sudah tentu saya mahu menurunkan pasukan yang memberi kami kelebihan.

“Media boleh bercakap apa sahaja (mengenai Sterling atau Rashford), namun selagi dua pemain itu berada dalam senarai yang dibawa ke Rusia, ia tiada beza,” ujarnya lagi. – AGENSI



,