Malaysia mahu anjur Piala Dunia Hoki 2022

KUALA LUMPUR 2 Jun – Malaysia akan mengemukakan bidaan bagi penganjuran Piala Dunia Hoki 2022.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, perkara itu dipersetujui semasa Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif yang berlangsung hari ini.





Beliau memberitahu, selain itu Malaysia juga akan membuat bidaan bagi menganjurkan Kejohanan Final Siri Dunia Lelaki 2019 bagi kelayakan Sukan Olimpik 2020 dan Kejohanan Final Siri Dunia Wanita 2021 untuk kelayakan Piala Dunia 2022.

“MHC akan menghantar ketiga-tiga bidaan ini kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) minggu hadapan.
“Buat masa sekarang penganjuran Final Siri Dunia Lelaki 2019 sudah hampir pasti menjadi milik Malaysia kerana sebelum ini FIH telah menawarkannya kepada Malaysia dan kami bersetuju.


“Bagi dua lagi bidaan termasuk Piala Dunia 2022, terpulang kepada FIH kerana sudah pasti negara lain juga akan membuat bidaan tetapi Malaysia memiliki segala kemudahan termasuk stadium terbaik untuk penganjuran Piala Dunia,” katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, Subahan memberitahu, penganjuran Final Siri Dunia Lelaki 2019 adalah ‘pelan kecemasan’ yang akan digunakan Malaysia untuk ke Sukan Olimpik 2020 seandainya skuad hoki negara gagal meraih pingat emas di Sukan Asia 2018 bagi kelayakan automatik ke Tokyo. – UTUSAN



Comments

comments