Malaysia bida anjur Piala Dunia 2034

Kuantan: Malaysia mungkin menyertai tiga lagi negara Asia Tenggara untuk melakukan bidaan menganjurkan Piala Dunia 2034 sekali gus yang pertama di rantau ini.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, badan induk dari tiga negara Asia Tenggara, Indonesia, Thailand dan Vietnam menyatakan hasrat untuk bersepakat membida hak penganjuran tuan rumah Piala Dunia 2034.





Bekas presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu berkata, beliau masih belum pasti mengenai hasrat Malaysia tapi merasakan ia bukan satu masalah jika Malaysia menyokong hasrat menjadi tuan rumah bersama kejohanan bola sepak terbesar itu.

“Saya rasa ia bukan satu masalah jika negara kita menunjukkan minat untuk membida menjadi tuan rumah 2034. Ia terpulang kepada FAM dan kerajaan untuk membuat keputusan.

“Asia Tenggara mempunyai peluang dan kelebihan untuk menjadi tuan rumah secara bersama kerana ia membenarkan tiga atau empat negara sama seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico selepas memenangi perubatan tuan rumah 2026.

“Inilah masanya negara Asia Tenggara diberi peluang dan ia akan membolehkan setiap negara mempertingkatkan kemudahan dan memperkuatkan pasukan kebangsaan masing-masing. Masih lagi mempunyai masa,” katanya kepada wartawan ketika rumah terbuka Aidilfitri di Istana Abdul Aziz, semalam.



Tengku Abdullah, yang baru saja pulang dari menyertai Kongres FIFA KE-68 di Moscow, Russia berkata, walaupun belum ada perbincangan secara menyeluruh mengenai negara yang akan membida Piala Dunia 2034 namun beliau percaya perancangan rapi bakal membuka peluang negara Asia Tenggara menjadi tuan rumah.

Jika Malaysia bersedia menjadi tuan rumah 2034, Tengku Abdullah berkata, masih lagi mempunyai tempoh panjang untuk memperkemaskan infrastruktur termasuk stadium di dalam negara agar ia kelihatan lebih moden termasuk dari segi reka bentuk dan konsep.

Mengenai cadangan menambah bilangan negara menyertai Piala Dunia kepada 48 pasukan sekali gus membenarkan Asia Tenggara memperoleh slot istimewa tanpa perlu mengharapkan kuota Asia, Tengku Abdullah berkata, perkara berkenaan boleh dibangkitkan tapi ia perlu mematuhi formula tertentu.



Comments

comments