Kroos penyelamat, Reus nadi kebangkitan Jerman

SOCHI, Russia: Dibawa masuk untuk menghidupkan kempen Jerman di Piala Dunia, penyerang Marco Reus ternyata tidak menghampakan apabila menjaringkan gol penyamaan yang menyelamatkan skuad Joachim Loew daripada kemungkinan tersingkir awal.



Jaringan penyerang itu pada minit ke-48 hadir sebelum bergandingan dengan Toni Kroos untuk gol kemenangan saat akhir, sebagai membalas penghormatan Loew memberikannya tugas sebagai kesebelasan utama.

Tampil kali pertama dalam skuad utama pada kempen Piala Dunia menggantikan Mesut Ozil yang kini dikritik hebat media Jerman, Reus ternyata berbisa dengan kaki kanannya.

Namun kaki kirinya yang bertanggungjawab menolak rendah hantaran Timo Werner yang gagal dijangkau penyerang Mario Gomez.




“Kami membuktikan semangat berpasukan selepas Sweden mendahului 1-0, ia satu kekecewaan dan kami perlu menerimanya tetapi sedar kami mampu bangkit,” kata Reus,29.

Ketika kekalahan mungkin menyebabkan juara bertahan itu tersingkir, keputusan seri masih meletakkan mereka di ambang penyingkiran.

Ini bermakna sepakan kaki kanan Kroos yang memastikan kemenangan 2-1 mencetuskan kegembiraan dalam kalangan peminat dan pemain Jerman.

“Apa yang dilakukan Toni sungguh menakjubkan, dia menunjukkan bakatnya beberapa kali. Saya menghormatinya atas apa yang dia lakukan,” kata Reus.


Penyerang Borussia Dortmund itu dibelenggu kecederaan yang menyebabkannya terlepas kempen Piala Dunia 2014 dan Euro 2016.

Tahun lalu, ligamen kakinya koyak sewaktu final Piala Jerman.

“Masih ada ruang untuk diperbaiki, namun kami tidak sabar menantikan perlawanan seterusnya,” katanya. – AFP



Comments

comments

,