England jumpa Argentina di final – Beckham

BEIJING: Bekas kapten England, David Beckham optimis pasukan Three Lions itu akan bertemu Argentina di pentas akhir Piala Dunia selepas permulaan positif yang dilakar pasukan itu pada kempen kali ini.

Beckham berkata demikian ketika ditemui pada majlis promosi di China, selepas England menewaskanTunisia 2-1 pada aksi pertama mereka sekali gus mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat kalah mati.

England berdepan prestasi kurang memberangsangkan pada kejohanan besar dan kali terakhir mereka mara ke suku akhir Piala Dunia adalah pada 2006.





Satu-satunya aksi final mereka adalah edisi 1966, apabila muncul juara dengan menundukkan Jerman di Wembley.

“Saya percaya Argentina akan menentang England di perlawanan akhir,” kata Beckham.

“Sudah tentu pilihan saya adalah England, saya perlu memilih negara saya sendiri untuk menjadi juara.”



Bagaimanapun, bekas pemain tengah Manchester United itu memberi amaran betapa anak buah Gareth Southgate itu bakal melalui liku yang sukar pada kempen kali ini.

“Saya gembira kerana kami memenangi perlawanan pertama di peringkat kumpulan.

“England adalah pasukan yang sangat muda, mereka tidak memiliki banyak pengalaman dan cabaran mereka di Piala Dunia akan bertambah sukar kerana banyak pasukan yang baik pada kejohanan ini.” -AFP



Comments

comments