Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Belanda Bayar Insentif Jika Berbasikal Ke Tempat Kerja

Belanda Bayar Insentif Jika Berbasikal Ke Tempat KerjaAMSTERDAM – Anda mungkin jarang melihat orang ramai berduyun-duyun berbasikal ke tempat kerja atau beli barangan dapur di pasar kerana ia bukanlah budaya yang popular di seluruh dunia.





Namun, budaya ini bukanlah perkara yang ganjil di negara maju antaranya Jepun, Kanada, Perancis dan Denmark mempromosikan amalan berbasikal demi kelestarian alam sekitar selain mampu meningkatkan kecergasan fizikal.

Baru-baru ini pemerintah Belanda mengorak langkah dengan mengumumkan sagu hati sebanyak 0.42 guilder Dutch (kira-kira RM0.88) bagi jarak setiap kilometer kepada pekerja yang sanggup berbasikal ke tempat kerja mereka.

Media tempatan melaporkan bahawa saranan unik itu dikemukakan oleh Timbalan Menteri Prasarana Belanda, Tientje Van Veldhoven sebagai langkah kerajaan bagi mengurangkan kadar kesesakan jalan raya pada waktu sibuk.

“Saya ingin mengajak orang ramai untuk tidak bergantung kepada pemanduan kereta. Sebaliknya, mereka boleh berbasikal walaupun bagi jarak jauh,” kata menteri itu dalam kenyataannya seperti dipetik akhbar The Sun.

Budaya berbasikal sudah menjadi sebati dengan kehidupan warga Belanda. Di kebanyakan bandar utamanya, puluhan ribu garisan khas ditandakan untuk penunggang basikal bagi membezakan ruang jalan kenderaan lain.

Demi menggalakkan penduduknya agar sentiasa mengayuh basikal, pemerintah Belanda akan memperuntukkan 220 juta guilder Dutch (kira-kira RM467 juta) untuk menambahkan lagi jumlah laluan dan tempat letak basikal.



Menurut stesen penyiaran antarabangsa CNN, Perancis sudah memulakan program sama dengan sokongan 20 buah institusi. Mereka membayar 0.25 euro (RM1.20) setiap kilometer kepada yang mengayuh basikal ke tempat kerja.

Dianggarkan secara purata 36 peratus penduduk Belanda akan menunggang basikal sebagai kenderaan harian berbanding 45 peratus yang memandu kereta dan 11 peratus pula menaiki pengangkutan awam darat lain. – Agensi