Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Tugas sukar buat Kim Swee

KUALA LUMPUR: Menjelang Sukan Asia Indonesia Ogos depan, sudah ada kebimbangan dirasai jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee.

Ini kerana beliau mengakui masih belum ada jaminan untuk semua pemain yang akan disenaraikan nanti bakal mendapat pelepasan pasukan masing-masing memandangkan temasya sukan itu berlangsung ketika kempen Piala Malaysia bermula.

“Saya merancang untuk mengadakan latihan pusat terakhir pada awal Ogos ini, kira-kira 10 hari sebelum pemain berangkat ke Indonesia. Apa yang membimbangkan jika ada pemain tidak mendapat pelepasan pasukan.





“Jika semua pemain dapat melaporkan diri bagi latihan pusat pada 1 Ogos, saya masih sempat untuk mengadakan satu perlawanan ujian pada 6 Ogos. Cuma saya tidak tahu sama ada saya boleh dapat mengumpul semua pemain memandangkan Piala Malaysia juga bakal bermula pada awal Ogos,” kata Kim Swee.

Melihat kepada situasi itu, persetujuan awal di antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihak pengurusan pasukan negeri dan kelab perlu dicapai bagi mengelak insiden sama berulang kembali.

Ketika mempersiapkan pasukan menghadapi Kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B23 di Bangkok, Thailand pada Julai tahun lalu, Kim Swee dikejutkan apabila hanya enam daripada 26 pemain yang disenaraikan melaporkan diri.

Pemain kemudian berjaya dikumpul secara berperingkat namun enam pemain utama Haziq Nadzli dan Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim), Syamer Kutty Abba dan S Kumaahran (Pulau Pinang) serta Matthew Davies dan Nor Azam Azih (Pahang) tetap tidak mendapat pelepasan untuk bersama pasukan.



Bagaimanapun dengan kesukaran itu, Kim Swee masih berjaya membawa pasukan melepasi pusingan kelayakan sebelum melakar sejarah mara ke suku akhir AFC B-23 di China awal tahun ini.

Kim Swee berkata, meskipun tempoh singkat dalam mempersiapkan pasukan ke Sukan Asia kali ini namun itu bukan masalah buat pemainnya.

“Tempoh 10 hari itu sebenarnya mencukupi andai semua pemain dapat pelepasan bersama pasukan. Pemain tiada masalah dari segi kecergasan kerana pemain melaporkan diri selepas saingan liga berjalan.

“Saya akan berbincang dengan FAM mengenai perancangan pasukan minggu depan dan diharap kita akan dapat kerjasama baik semua pihak,” kata bekas jurulatih Harimau Malaya itu.