Tragedi amuk 1 Ramadan, Tiga kanak-kanak maut

TIGA kanak-kanak maut manakala empat parah selepas ditetak lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian amuk di Kampung Sungai Haji Mohamad, Selekoh dekat Rungkup, hari ini.




Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, tiga beradik yang maut berusia antara dua hingga lima tahun manakala empat yang parah termasuk ibu ketiga-tiga mangsa serta dua pelajar sekolah bagaimanapun masih belum dikenal pasti.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, ketika kejadian, lelaki yang dipercayai kurang siuman menceroboh masuk ke rumah didiami tiga mangsa dan ibunya.

Katanya, suspek yang bersenjatakan parang melibas ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan hingga mengakibatkan kematian manakala ibu mangsa cedera parah.





Jiran dengar jeritan, tangisan“Dalam tempoh setengah jam kemudian, suspek menghala ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Mohamad dan menetak dua pelajar sekolah dan seorang orang awam.

“Polis masih belum mengenal pasti semua mangsa yang cedera dan akan memaklumkannya dari masa ke semasa,” katanya ketika dihubungi di Bagan Datuk, hari ini.

Beliau berkata, polis bagaimanapun berjaya menahan suspek berdasarkan maklumat orang awam dan merampas senjata digunakan suspek iaitu parang.

“Siasatan masih diteruskan dan setakat ini polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.


Sementara itu, seorang penduduk kampung yang enggan dikenali ketika dihubungi, berkata suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan tinggal tidak jauh daripada rumah mangsa.

“Sejak dua tiga hari lalu, lelaki dikenali Rambo itu dilihat sering membawa parang dan kami tidak menyangka dia sanggup melakukan perbuatan yang sebegitu kejam di hari pertama berpuasa,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan menerima rawatan lanjut.



Comments

comments