Syamer Tamat Perguruan Di Portugal

Image result for Syamer KuttyTEMPOH ‘perguruan’ selama lebih empat bulan apabila dipinjamkan ke pasukan divisyen tiga Portugal, Vilaverdense, nyata banyak mengubah pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Syamer Kutty Abba menjadi pemain yang lebih mantap.

Justeru, bekas pemain Pulau Pinang itu mahu membuktikan betapa dia kini adalah ‘Syamer yang baharu’ dan bersedia merampas kedudukan dalam kesebelasan utama meskipun mengakui ia bukanlah satu tugas yang mudah buat dirinya.

Jelas pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara itu, dia kini sedang cuba menyesuaikan diri dengan keadaan dan juga rakan sepasukan baharunya selepas menjalani latihan bersama JDT sejak pulang dari Portugal, minggu lalu.





“Persediaan bersama pasukan JDT semuanya berjalan lancar dan saya ingin berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberi saya peluang untuk kembali beraksi bersama kelab terbaik di Malaysia.

“Mengenai persaingan dengan pemain senior yang lain, saya melihat situasi ini dari sudut yang positif. Persaingan yang sihat secara tidak langsung akan membantu saya untuk meningkatkan lagi kualiti permainan.

“Pengalaman yang saya raih di Portugal akan digunakan sepenuhnya untuk membantu JDT namun dalam masa sama, saya juga akan berusaha keras dan belajar sebanyak mana yang boleh daripada pemain senior dalam pasukan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Sebelum ini, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest mengesahkan pemain berusia 20 tahun itu dan seorang lagi pemain, Dominic Tan dipanggil semula menyertai pasukan itu selepas kontrak pinjaman bersama pasukan Vilaverdense berakhir.

Mereka akan mengisi lima kekosongan dalam pasukan utama yang turut membabitkan Harry Novillo, Jorge Santos Silva dan Kiko Insa selepas lima pemain ditugaskan untuk membantu JDTII iaitu Nicolas Fernandez, Junior Eldstal, Amirulhadi Zainal, Darren Lok dan Fazly Mazlan.

Bulan lalu, dua pemain itu diberi peluang beraksi buat pertama kalinya dalam kesebelasan utama Vilaverdense pada aksi bertemu Oliveirense namun mereka tidak bernasib baik selepas pasukannya yang sudahpun muncul naib juara Serie A tumbang 0-1 di tangan pasukan lawan.



Comments

comments

,