Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

VIDEO NS kempunan di Paroi

SEREMBAN: Hasrat Negeri Sembilan untuk bangkit mencipta kemenangan tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyebabkan skuad Hobin Jang Hobin kekal di dasar liga sementara Kedah melonjak ke tangga keenam.




Seawal minit ketujuh, gawang Negeri Sembilan bolos hasil gerakan satu dua antara Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang menghantar bola ke tengah dan disudahkan dengan sempurna Liridon Krasniqi, untuk gol pertama Kedah.

Tersentak jaringan itu, skuad tuan rumah cuba memperkemaskan jentera serangan namun gagal membolosi pertahanan Kedah yang dikawal kemas Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.

Selang lapan minit kemudian, Muhammad Akhyar memperagakan aksi lincahnya apabila menyungkit bola melepasi pengjaga gol Negeri Sembilan, Muhamad Ilham Amirullah Razali dalam kotak penalti untuk gol kedua.

Peluang tuan rumah merapatkan jurang diperoleh pada minit-22 namun sepakan Muhamad Izuan Mohamad Salahudin di penjuru kanan ditepis Mohd Ifwat Akmal.

Kedah jelas menguasai perlawanan sehingga tamat separuh masa pertama namun gagal menghasilkan tambahan gol.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan dilihat meningkatkan serangan ke kubu lawan terutama menerusi penyerangnya, Mohd Khairul Izuan Rosli dan pemain tengah, Flavio Beck Junior namun terus buntu mendapatkan gol.



Pemain gantian Negeri Sembilan, Nicholas Leandro Velez mensia-siakan peluang apabila sepakannya pada minit-74 melepasi palang walaupun hanya berdepan Mohd Ifwat Akmal.

Kesilapan itu ditebus seminit kemudian oleh Flavio yang meledak gol pertama sebaik menolak kemas bola ke gawang akibat kesilapan pemain pertahanan Kedah.

Usaha Negeri Sembilan mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian apabila keputusan kekal hingga wisel penamat.



,