Masih awal lagi menilai pemain import Asean

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan tidak adil untuk membuat penilaian terhadap impak pemain kuota Asia Tenggara (ASEAN) dalam Liga Super, apatah lagi ia baru diperkenalkan musim ini.




Malah, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam mempersoalkan bentuk penilaian yang dibuat terhadap impak pemain terbabit sedangkan kebanyakan mereka membarisi kesebelasan utama dan menjadi tonggak pasukan masing-masing.

Menurutnya, kehadiran mereka juga sudah memberi petunjuk positif terhadap nilai Liga Super selepas berjaya menarik minat penonton di rantau ini untuk menyaksikan perlawanan.

“Saya hairan daripada aspek manakah penilaian dilakukan oleh beberapa individu yang mengatakan kuota import ASEAN tidak memberi kesan kepada perkembangan Liga Super?

“Sebenarnya, tujuan utama kita memperkenalkan kuota itu adalah untuk meningkatkan nilai komersil dan pemasaran Liga Super dengan harapan mampu menarik minat penyokong ASEAN menyaksikannya.

“Secara dasarnya, kehadiran mereka sememangnya membantu apa yang ingin kita sasarkan berdasarkan jumlah tontonan dan pandangan penyokong dari luar yang menyaksikan aksi bola sepak di negara ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.





Justeru, Kevin memberi bayangan MFL tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak dan menjelaskan kuota import ASEAN itu akan tetap diteruskan pada musim akan datang.

“Apapun, kita perlu memberi ruang yang secukupnya terhadap pelaksanaan kuota import ASEAN ini kerana ia perkara baharu. Justeru, saya berpendapat ia akan diteruskan.

“Sekiranya mahu kajian dilakukan, mungkin selepas ia dijalankan sekurang-kurangnya selama tiga tahun bagi menilai semula keberkesanannya,” katanya.

Terdahulu, Sukan NSTP melaporkan badan pengendali liga itu diminta mengkaji semula kuota import itu kerana ia dilihat tidak meninggalkan impak positif, sebaliknya sekadar menjadi ‘nasi tambah’ kepada Liga Super.


Malah, beberapa bekas pemain negara menganggap kehadiran mereka hanya membazirkan wang pasukan serta menutup peluang pemain tempatan beraksi.

Legenda bola sepak negara, Datuk Shukor Salleh berkata, selepas setengah musim Liga Super 2018 berlangsung, beliau belum melihat hasil positif daripada kewujudan kuota itu yang mula diperkenalkan musim ini.

Malah, bekas pertahanan kebangsaan dan Pahang, Datuk Jamal Nasir Ismail turut senada dengan Shukor sambil menganggap kuota empat import seperti sebelum ini sudah memadai untuk setiap pasukan.



 

Comments

comments

,