Lang Merah tewaskan Tok Gajah

KUALA LUMPUR: Terengganu berjaya melonjak ke tangga keempat carta Liga Super 2018 selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Selasa malam.

Keputusan itu sekali gus menamatkan rekod enam perlawanan tanpa kalah yang dipegang Perak, selepas kali terakhir tewas 2-3 kepada Kelantan pada 24 Februari lalu.

Skuad penyu membuka jaringan menerusi sepakan penalti penyerang import dari Ivory Coast, Kipre Tchetche pada minit ke-26, sebelum beliau menggandakan jaringan pada minit ke-52, bagi memastikan tiga mata penuh menjadi milik pasukan Pantai Timur itu.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah mencatat kemenangan 2-0 ke atas Pahang untuk memintas PKNS FC ke tangga kelima carta.





Dua jaringan skuad Lang Merah dijaringkan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-44 dan pemain import dari Kosovo, Liridon Krasniqi pada minit ke-88.

Sementara itu, Kuala Lumpur membenam Kelantan 5-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, menyaksikan pemain import dari Brazil, Guilherme de Paula muncul wira pasukan apabila menjaringkan dua gol pada minit keempat dan ke-23.


Skuad ‘The City Boys’ turut meraih gol menerusi rakan senegaranya, Paulo Josue pada minit ke-10, Ashri Chuchu (minit ke-78) dan seorang lagi pemain import dari Brazil, Junior Aparecido (minit ke-86), manakala Kelantan mengurangkan defisit menerusi Shafiq Shaharudin pada minit ke-16.

Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) masih kekal di puncak carta dengan 25 mata daripada 10 perlawanan, diikuti Perak (20 mata), Pahang (18), Terengganu (18) dan Kedah (18).



Comments

comments

,