Kuota ASEAN tiada impak?

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) diminta mengkaji semula kewujudan kuota pemain import Asia Tenggara (ASEAN) kerana ia dilihat tidak meninggalkan impak positif kepada bola sepak negara sebaliknya sekadar menjadi ‘nasi tambah’ kepada Liga Super.




Malah, beberapa bekas pemain negara menganggap kehadiran mereka hanya membazirkan wang pasukan serta menutup peluang pemain tempatan.

Legenda bola sepak negara, Datuk Shukor Salleh berkata, selepas setengah musim liga 2018 berlangsung, beliau belum melihat sebarang hasil positif daripada kewujudan kuota ASEAN yang mula diperkenalkan musim ini.

“Saya tidak nampak apa-apa faedah pun daripada kuota ASEAN itu kerana berdasarkan kualiti kebanyakan mereka, tidak banyak beza dengan pemain tempatan.

“Kalau begitu, buat apa kita nak buang duit bayar gaji mereka tinggi-tinggi sedangkan prestasi tak seberapa. Bukankah lebih elok duit itu kita belanjakan untuk pemain tempatan.

“Saya cadangkan supaya MFL kaji semula keperluan kuota ini, kalau tidak membawa sebarang manfaat, elok ditiadakan,” kata Shukor.

Bekas pertahanan kebangsaan dan Pahang, Datuk Jamal Nasir Ismail turut senada dengan Shukor sambil menganggap kuota empat import seperti sebelum ini sudah memadai untuk setiap pasukan.

“Sejak awal, saya tidak bersetuju dengan idea mewujudkan kuota ASEAN kerana kita semua sedia maklum sejauh mana kemampuan mereka. Kalau ada yang berkualiti atau lebih bagus daripada pemain kita pun tidak ramai.





“Malah, yang bagus-bagus pun tidak berminat untuk main dalam liga kita sebaliknya memilih untuk bermain dalam liga lebih kompetitif seperti Jepun, Korea mahupun Thailand.

“Sekarang, kita sendiri sudah lihat hasilnya, saya rasa memang elok jika MFL kaji semula kedudukan kuota ASEAN ini,” tegas Jamal.

Sementara itu bekas pemain Kedah, Khamal Idris Ali mahu MFL mengkaji secara mendalam impak kehadiran pemain import ASEAN sama ada positif mahupun negatif.

“Berdasarkan prestasi, memang tidak berbaloi kerana hanya seorang dua saja yang berkualiti. Lebih baik kita beri peluang kepada anak tempatan terutama pemain muda.


“Tapi sejauh mana pula kesannya dari sudut lain contohnya pemasaran, penajaan serta sambutan peminat terutama dari luar negara. Jika positif, mungkin kita boleh teruskan,” katanya.

Bagi Subadron Aziz pula, adalah lebih adil jika kewujudan kuota itu diwajibkan oleh Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) ke atas semua liga ahli gabungannya kerana ia dilihat lebih adil serta menguntungkan semua pihak.

“Kalau semua negara ASEAN diwajibkan menggunakan import dalam kalangan negara serantau, pemain kita akan turut mendapat manfaat kerana berpeluang mengembangkan bakat dalam liga negara lain,” ujar Subadron.



Comments

comments

,