Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Calon Presiden FAM: Azim Persoal Hamidin

Image result for Datuk Seri Abdul Azim Mohd. ZabidiKUALA LUMPUR 13 Mei – Walaupun tidak mempunyai pengalaman seperti Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam bola sepak namun Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi menegaskan itu tidak menjadi masalah kepada beliau jika dipilih untuk mengisi kerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Azim yang dicalonkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) bakal merebut jawatan No. 1 badan induk bola sepak negara itu bersama dua lagi calon iaitu Setiausaha Agung FAM, Hamidin dan bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa.





“Saya memang tiada pengalaman dalam mana-mana persatu­an bola sepak sebelum ini namun itu bukan masalah utama kerana bagi saya bola sepak ini lebih mementingkan produk yang mana sekiranya saya dilantik bukan saya yang nak pergi main bola sepak untuk negara.

“Tugas saya adalah memberi pandangan baharu terhadap pengurusan, kejurulatihan dan lain-lain dalam FAM. Jika dilihat selama ini pandangan hanya diberi dalam kala­ngan orang yang sama, tidak berkembang pun.

“Saya ingin bertanya kepada anda, Datuk Hamidin sudah lama dalam bola sepak tetapi saya tidak nampak kebaikan pun, jadi adakah itu gagal atau tidak? Sudah (lama) melibatkan diri dalam bola sepak tetapi macam itu juga.

“Sudah tiba masanya untuk menerima perspektif baharu. Jangan terlalu negatif sebalik­nya bersikap positif. Lagi satu, saya lihat bola sepak di negara ini terlalu bersifat eksklusif di mana orang luar tidak boleh masuk. Saya fikir nak kena tukar. Saya mahu jadikannya bersifat inklusif (jika dipilih).



“Jika ada orang lain boleh beri idea baharu apa salah­nya. Jangan terlalu eksklusif. Mereka sahaja yang boleh. Kita dah nampak dalam tempoh 10 hingga 20 tahun ini. Teruk lagi ada (tahap bola sepak negara). Sepatutnya semua letak jawatan sebab mereka juga bersalah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain memegang jawatan sebagai Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Azim yang juga merupakan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Chef de Mission (CDM) Sukan Asia 2018, menegaskan beliau tidak mempunyai masalah untuk memiliki banyak jawatan.

Azim turut mengakui beliau masih belum memikirkan mengenai manifesto untuk kerusi Presiden FAM kerana belum pasti akan bertanding.

“Saya belum pasti lagi untuk menerima pencalonan ini dan sekarang masih berfikir. Bagi saya, pengurusan masa yang penting. CDM bukan jawatan kekal… akan tamat selepas Sukan Asia 2018. Jawatan saya dalam ISN dan MOM pula mempunyai kaitan,” katanya.



,