Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Arteta, Vieira, Nagelsmann calon pilihan

LONDON: Mikel Arteta, Patrick Vieira dan pengurus muda Hoffenheim, Julian Nagelsmann akan ditemuduga bagi merebut jawatan pengurus di Arsenal dengan keputusannya akan diketahui dalam tempoh dua minggu.



Kelab Inggeris berpangkalan di London itu juga dijangka membuat pengumuman mengenai pengganti Arsene Wenger sebelum pusingan akhir Piala Dunia Russia 2018.

Selain Arteta, Vieira dan Nagelsmann, pengurus Juventus, Massimiliano Allegri juga kekal sebagai calon tetapi situasi tampak tidak memihaknya dengan kelab dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pengurus muda.

Berbanding model beberapa pasukan yang mengubah pengurus setiap dua atau tiga tahun, Gunners dipercayai lebih berminat untuk mencipta satu lagi dinasti jangka panjang.

Nama Joachim Loew juga sudah diketepikan kerana tugasan beliau bersama Jerman pada Piala Dunia.

Legenda kelab itu, Thierry Henry juga dijadual bertemu dengan eksekutif kelab dan akan ditawarkan peranan tetapi bukan pengurus.

Dikatakan, pengurus muda akan memberikan lebih kuasa kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Ivan Gazidis dan ketua pencari bakat Sven Mislintat serta pengarah hubungan bola sepak yang dilantiknya, Raul Sanllehi.


Ia juga dilihat senada dengan peningkatan pembabitan anak pemilik, Josh Kroenkedi dalam kelab itu dan ramai percaya hartawan berusia 38 tahun itu akan dilantik sebagai pengerusi baharu bagi menggantikan Sir Chips Keswick, 78, tidak lama lagi.

Sokongan terhadap bekas pemain Arsenal, Arteta yang ketika ini menjadi pembantu jurulatih di Manchester City dipercayai terus meningkat manakala legenda kelab, Vieira dilihat calon kurang popular.

Nagelsmann adalah calon kegemaran Mislintat dengan pengurus berusia 30 tahun itu baru-baru ini membantu Hoffenheim layak ke Liga Juara-Juara dengan menewaskan Borussia Dortmund 3-1. – Agensi