Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Manchester United ke final Piala FA

LONDON: Manchester United bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum menundukkan Tottenham Hotspur 2-1 di Stadium Wembley sekali gus mengesahkan tempat ke final Piala FA buat kali ke-20.



Jaringan daripada Alexis Sanchez serta Ander Herrera memadam gol awal Dele Alli dan memastikan Spurs terus kempunan untuk meraih trofi dalam tempoh sedekad.

Tottenham bermula garang apabila mendahului seawal minit ke-11 menerusi satu gerakan menarik yang diperagakan anak buah Mauricio Pochettino.

Hantaran jauh Davinson Sanchez berjaya disambut Christian Eriksen yang gagal dikawal Paul Pogba sebelum pemain tengah Denmark itu melakukan hantaran lintang yang disambut Alli untuk gol ke-13 peribadinya musim ini.

Bagaimanapun, hantaran Paul Pogba ditanduk masuk Alexis Sanchez pada minit ke-24 untuk dia mengekalkan rekod cemerlangnya di Wembley yang menyaksikan jaringan ketiganya bersama United menjadi jaringan kelapan dalam lapan perlawanan di stadium terbabit.




Spurs sekali lagi dikejutkan apabila hantaran Sanchez disambut Herrera yang tidak dikawal sebelum pemain tengah itu melakukan rembatan leret untuk menewaskan Micheal Vorm pada minit ke-62.

Dengan United berpeluang untuk menamatkan musim ini dengan sekurang-kurangnya satu trofi, Spurs pula terus dirundung nasib malang apabila tewas di peringkat separuh akhir Piala FA untuk kali kelapan berturut-turut.


United akan bertemu sama ada Chelsea mahupun Southampton dalam satu lagi aksi separuh akhir yang akan berlangsung, malam ini. – AFP