Kes pertama bawah Akta Antiberita Tidak Benar

JOHOR BAHRU: Polis Johor menggunakan akta baru diluluskan, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 untuk menyiasat berita palsu mengenai Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, akan beri bantuan di beberapa pasar raya, semalam.

Mesej mendakwa TMJ akan memberi bantuan sehingga RM200 di Pontian dan beberapa daerah lain menjadi viral di media sosial menyebabkan keadaan kelam kabut di beberapa pasar raya.




Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata pada jam 10 pagi semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian menerima maklumat kehadiran orang ramai di pasar raya Econsave Pontian selepas mesej mendakwa TMJ akan memberi bantuan kepada orang ramai menjadi viral.

“Hasil siasatan mendapati, mesej itu adalah palsu dan penyebaran mesej seumpamanya turut dikesan di beberapa lokasi lain di negeri ini.

Orang ramai menyerbu pasaraya Econsave di Pontian setelah tularnya berita bahawa Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dikatakan akan membelanjakan sejumlah wang kepada rakyat yang berada di Econsave semalam.




“Berikutan itu, kami menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika bersabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

“Seseorang itu juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan bersalah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khalil berkata, selain itu Polis Johor menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Antiberita Tidak Benar 2018 di mana jika bersabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara hingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.



Katanya, jika kesalahan itu masih diteruskan selepas disabitkan bersalah, seseorang itu boleh didenda sehingga RM3,000 selama kesalahan masih berlaku.

Berikutan itu, katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan berita dan jangan percaya apa yang diterima di media sosial sebelum mendapatkan kesahihan.

“Kami tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu, pengendali media sosial atau portal berita yang menulis dan menyebarkan laporan palsu, menyakitkan hati, jelik atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.



Comments

comments