Dollah dedah rahsia kemenangan Pahang

JOHOR BAHRU: Perancangan dan pelaksanaan taktikal yang tepat membuktikan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh ditewaskan di stadium keramat mereka, Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, pada aksi suku akhir kedua Piala FA, malam tadi.




Lebih manis, kemenangan 3-0 pasukan Pahang dicatat ketika pemain utama masih belum pulih 100 peratus daripada kecederaan.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, rahsia menewaskan JDT adalah dengan mematikan gerakan barisan tengah skuad kendalian Raul Longhi.

Menurutnya, walaupun terpaksa membariskan kesebelasan utama ‘tempang’ berikutan beberapa pemain utama, Matthew Davies, Safuwan Baharuddin, penjaring hatrik Patrick Cruz dan Mohamadou Sumareh tidak cergas 100 peratus, komitmen tinggi mereka memastikan Pahang mara ke separuh akhir dengan penuh bergaya.





“Sebenarnya memang kita merancang untuk mematikan bahagian tengah JDT yang juga nadi dan kekuatan pasukan itu,” kata bekas pemain dan pengendali skuad kebangsaan itu.

“Walaupun dalam sesi latihan saya tidak dapat melatih pemain membentuk taktikal dirancang, tetapi pemain saya faham apa yang saya mahu.

“Tiga pemain tengah JDT adalah nadi utama pasukan itu dan apabila kami menyekat penguasaan mereka, kami dapati Natxo (Insa), Hariss (Harun) dan Nazmi (Faiz Mansor) tiada ruang untuk mengawal bola.

“Kita matikan langkah ketiga-tiga pemain tengah JDT daripada mengumpan bola kepada sayap kanan dan kiri dan ia menyukarkan Gonzalo (Cabrera) menyusup masuk selain membataskan pergerakan Safawi (Rasid).”



Dollah sendiri tidak menyangka Cruz yang masih belum cergas 100 peratus mampu meledak hatrik manakal Sumareh yang demam panas masih mampu memberikan persembahan terbaik untuk memastikan Pahang melangkah ke separuh akhir.

Katanya, Davies sepatutnya tidak diturunkan tetapi tetap mahu berada dalam kesebelasan utama walaupun hanya diberikan panduan untuk mengawal corak permainan Cabrera.

“Safuwan yang mengalami kecederaan dan pulang ke Singapura Jumaat lalu untuk mendapat rawatan hanya menjalani latihan ringan, tiga hari sebelum ke Johor Bahru dan latihan yang dilakukan bukan di tahap 100 peratus.

“Saya berpuas hati dengan persembahan setiap pemain yang diturunkan, malah ketika aksi babak kedua saya beritahu pemain jika mereka kekalkan corak permainan seperti babak pertama tidak mustahil kita akan menang.

“Walaupun dalam kedudukan selesa, saya tidak mengubah corak permainan kerana sedar jika diberi ruang, JDT boleh menghukum kami,” katanya.



Comments

comments

, ,