Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Lelaki Mengamuk Di Balai Polis Kerana Adik Ditahan

Image may contain: one or more peopleSEREMBAN: Seorang lelaki yang berang dan bertindak agresif di balai polis kerana adiknya ditahan polis selepas dipercayai menunggang motosikal secara melulu ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.



Lelaki berusia 25 tahun itu datang ke Balai Polis Senawang jam 9.30 pagi selepas mengetahui adiknya yang berusia 24 tahun ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Plaza Tol Senawang.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, berkata lelaki terbabit tidak puas hati di atas tindakan polis itu termasuk apabila melihat adiknya digari, hilang sabar dan memarahi anggota polis yang menjelaskan mengenai operasi itu.

Difahamkan, anggota polis cuba menjelaskan tindakan menahan adiknya itu, namun lelaki berkenaan berang, lalu bertindak agresif dan membuat provokasi termasuk menolak anggota polis terbabit.





Susulan itu, lelaki berkenaan ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Hock Poh berkata adik lelaki itu antara 23 penunggang motosikal berusia 15 hingga 25 tahun yang ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

daripada mereka yang ditahan, dua ditahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah.



“Sebelum itu, polis yang melakukan risikan melihat kumpulan mat rempit menunggang secara melulu dan melakukan aksi berbahaya sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan bermula dari Plaza Tol Labu sehingga ke Plaza Tol Senawang.

“Polis kemudian melakukan sekatan di Plaza Tol Senawang pada jam 3.30 pagi dan berjaya menahan 130 penunggang serta pembonceng untuk pemeriksaan. Namun, hanya 24 orang dibawa ke balai untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, operasi dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) itu membabitkan kekuatan 20 pegawai serta 131 anggota.